Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023: Dijangka anjak ke Jun, FAM tetap bersedia

Astro Awani
Februari 5, 2021 07:39 MYT
Tan Cheng Hoe berharap pemain membuat latihan fizikal seperti yang telah disediakan oleh kelab masing-masing.
ISU melibatkan pandemik COVID-19 bukan sahaja melibatkan Malaysia namun hampir keseluruhan rantau Asia, menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam.
Beliau berkata demikian berhubung persiapan dan penganjuran saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Katanya, keadaan ini mencerahkan lagi peluang untuk aksi kelayakan Piala Asia dianjak kepada Jun walaupun kebimbangan untuk saingan itu dilangsungkan pada Mac tetap ada.
"Bukan sahaja rantau ini namun hampir keseluruhan Asia terpalit dengan masalah pandemik ini. Jadi, saya agak bimbang mengenai situasi dialami oleh semua negara di Asia ini.
"Dan keputusan perlu diambil oleh pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). Dan pihak FAM sudah bersedia dengan langkah yang terbaik," kata Ramalingam menurut laporan Astro ARENA.
Katanya, FAM tidak sesekali melatah andai jadual dikekalkan pada Mac.
Dalam apa jua situasi, FAM memberi jaminan, persediaan skuad negara tetap keutamaan mereka dalam usaha untuk memastikan layak beraksi di Piala Asia bukan sekadar omong kosong.
"Kami sentiasa berada dalam keadaan yang bersedia.
"Jika perlawanan tetap dilangsungkan pada bulan depan, kami akan sentiasa membuat perancangan dan memastikan perlawanan di tempat sendiri dan lawan nanti," tambahnya.
Sementara itu, ketua jurulatih negara Tan Cheng Hoe pula berkata: "Pemain-pemain perlu berada di tahap terbaik sebaik kami menjalani persiapan untuk saingan antarabangsa.
"Buat masa ini, diharapkan mereka membuat latihan fizikal seperti yang telah disediakan oleh pihak kelab masing-masing."
#bola sepak #Tan Cheng Hoe #stuart ramalingam #afc #Piala Dunia 2022 #Piala Asia 2023 #pandemik #Asia #COVID-19 #latihan #persiapan #FAM #Piala Dunia
;