Kelayakan Piala Asia: Pertemuan Malaysia-Korea Utara 8 Jun di venue berkecuali

Bernama
Mac 15, 2017 14:48 MYT
WINDSOR: Jika Korea Utara gagal mencadangkan venue baharu, AFC akan menentukan gelanggang baharu bagi pihak negara itu sebelum 8 Mei ini.
Perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Korea Utara akan diadakan pada 8 Jun ini, demikian diumumkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul, ketika mengumumkan tarikh baharu itu, berkata Korea Utara diberi tempoh sebulan bermula 13 Mac hingga 14 April ini untuk mencadangkan venue baharu perlawanan.
Sekiranya Korea Utara gagal mencadangkan venue baharu, katanya, AFC akan menentukan gelanggang baharu bagi pihak negara itu sebelum 8 Mei ini.
Pertemuan pembukaan Kumpulan B itu yang sepatut diadakan di Pyongyang pada 28 Mac ini ditangguh atas permohonan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengadakan perlawanan itu di gelanggang berkecuali kerana faktor keselamatan.
Ini berikutan situasi tegang hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara selepas pembunuhan Kim Jong-Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbangan Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Feb lepas.
Windsor berkata Korea Utara bukan sahaja perlu mencadangkan venue berkecuali tetapi juga harus memberi jaminan keselamatan dan visa khusus untuk pemain, media, pegawai dan peminat bola sepak.
Seandainya venue berkecuali dipilih untuk perlawanan pertama maka perlawanan timbal balik antara kedua-dua pasukan itu juga akan diadakan di venue berkecuali, katanya pada taklimat media di sini.
Katanya, tarikh baharu itu diputuskan oleh Jawatankuasa Pertandingan AFC.
"Kami perlu mengadakan perlawanan mengikut jadual FIFA dan sekiranya tidak, pemain tidak akan mendapatkan pelepasan dari kelab masing-masing. Tarikh sebelum perlawanan kedua dijadual pada 13 Jun hanyalah pada 8 Jun," katanya.
-- BERNAMA
#bola sepak #kelayakan #Korea Utara #Malaysia #Piala Asia
;