Kelayakan Piala Asia B-23: FAM pertaruh skuad B-20 Kebangsaan

Bernama
Julai 9, 2021 04:29 MYT
ONG: Kita perlu bersiap sedia dengan persiapan yang lebih baik untuk layak ke pusingan akhir dan jika berjaya layak, ia satu bonus untuk pemain skuad B-20 ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mempertaruhkan skuad Bawah 20 Tahun (B-20) kebangsaan untuk beraksi pada pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2022 yang akan berlangsung di Mongolia pada Oktober depan.
Pengarah Teknikal FAM Datuk Ong Kim Swee berkata skuad B-20 merupakan program jangka panjang FAM bagi skuad B-23 kebangsaan menghadapi kelayakan Sukan Olimpik 2024 yang menyaksikan barisan pemain berusia 20 tahun dan ke bawah perlu dipersiapkan ke arah itu.
Beliau berkata perkembangan itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM sebelum ia dipersetujui dan diluluskan Jawatankuasa Eksekutif FAM.
"Kelompok pemain ini akan kita sediakan lebih awal bagi menghadapi dua kitaran pusingan kelayakan iaitu Kelayakan Piala Asia B-23 2022 pada Oktober dan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 pada 2023, selain dua temasya Sukan SEA iaitu edisi 2021 di Vietnam dan di Kemboja pada 2023.
"Jadi mereka akan diberikan lebih banyak pendedahan dan persiapan jangka panjang yang lebih awal bagi kempen kelayakan Olimpik itu," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Bagaimanapun, dilaporkan Sukan SEA Vietnam 2021 ditangguhkan sehingga tahun depan susulan pandemik COVID-19.
Malaysia berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia B-23 pada 2018 yang sebelum ini dikenali sebagai Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), namun tewas kepada Korea Selatan di peringkat suku akhir.
Sementara itu, majlis undian pada Jumaat menyaksikan Malaysia diundi bersama Thailand, Laos dan Mongolia dalam Kumpulan J pusingan kelayakan itu yang dijadual berlangsung dari 27 hingga 31 Okt depan untuk merebut 15 slot terbaik bersama pasukan tuan rumah, Uzbekistan ke pusingan akhir.
Hanya juara setiap kumpulan serta empat pasukan di kedudukan kedua terbaik kumpulan akan menyertai tuan rumah beraksi di pusingan akhir yang dijadual berlangsung di Tashkent pada Jun 2022.
"Bagi undian kali ini, bukan bermakna laluan mudah dalam Kumpulan J kerana kita kena faham yang kita menghantar skuad B-20. Apa yang lebih penting, pendedahan kepada pemain ini untuk mereka dipersiapkan menjelang saingan kelayakan seterusnya pada 2023.
"Jadi kita perlu bersiap sedia dengan persiapan yang lebih baik untuk layak ke pusingan akhir dan jika berjaya layak, ia satu bonus untuk pemain skuad B-20 ini didedahkan dengan kejohanan yang lebih tinggi sebelum kita ke kelayakan seterusnya," jelas Kim Swee.
Skuad B-20 kendalian jurulatih Brad Maloney akan membuka tirai saingan Kumpulan J bertemu Laos pada 27 Okt sebelum menentang Mongolia dan Thailand, masing-masing pada 29 dan 31 Okt.
-- BERNAMA
#FAM #kelayakan piala Asia #Bawah 23 Tahun #Ong Kim Swee #Sukan Olimpik 2024 #undian #Mongolia #skuad B-20 #persiapan #program jangka panjang #Sukan SEA Vietnam 2021 #tangguh
;