Kelantan United berdepan masalah kecederaan pemain utama

Bernama
Jun 8, 2022 18:19 MYT
Syamsul berkata, masalah itu memberi tekanan kepada barisan kejurulatihan untuk merancang strategi serta memperbaiki beberapa kelemahan pemainnya. - Sinar Harian
KOTA BHARU: Masalah kecederaan beberapa pemain utama menghantui kem Kelantan United (KUFC) bagi menghadapi pusingan kedua Liga Premier bermula akhir bulan ini, kata Ketua Jurulatih KUFC Syamsul Saad.
Beliau berkata masalah yang dihadapi itu memberi tekanan kepada barisan kejurulatihan untuk merancang strategi serta memperbaiki beberapa kelemahan pemainnya.
"Sebelum ini, penyerang import Njoku Jacob tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan pangkal paha, pemain tengah Haziq Subri pula mengalami kecederaan buku lali dan terbaharu penyerang Akif Afizi terlibat dengan kemalangan jalan raya di Kota Bharu, minggu lalu.
Oleh itu, kecederaan yang dialami beberapa pemain utama ini sedikit sebanyak telah memberi kesan untuk mengekalkan momentum permainan pasukan kami," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Selepas mengharungi sembilan perlawanan, KUFC ketika ini berada di kedudukan kelima dengan mengumpul 15 mata hasil empat kemenangan, tiga seri dan dua kekalahan.
Pusingan kedua Liga Premier musim 2022 akan disambung semula dari 25 Jun hingga 3 Sept.
Mengulas lanjut, Syamsul berkata beliau akan melakukan beberapa perubahan taktikal dan posisi pemain terutama beberapa pemain simpanan yang tidak pernah beraksi dalam perlawanan sebelum ini sebagai persediaan selanjutnya.
"Kita akan menguji kemampuan beberapa pemain lagi menerusi beberapa siri perlawanan persahabatan untuk mengisi kekosongan pemain utama yang mengalami kecederaan
Saya harap pemain-pemain ini cepat menyesuaikan diri dengan beberapa perubahan taktikal yang diterapkan selepas ini," katanya,
-- BERNAMA
#KUFC #ketua jurulatih #kecederaan
;