Kelantan terima tajaan kasut daripada syarikat kosmetik
Bernama
Januari 30, 2017 12:37 MYT
Januari 30, 2017 12:37 MYT
Skuad bola sepak Kelantan menerima tajaan tambahan berupa kasut bola daripada sebuah syarikat kosmetik bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.
Pengarah Urusan Glow Glowing Beauty Skin Sdn Bhd, Datuk Rowi Dollah berkata syarikat itu sebelum ini telah menaja jersi perlawanan dan latihan bagi pasukan The Red Warriors itu.
"Penajaan tambahan ini dilakukan bagi menaikkan semangat pemain untuk beraksi lebih cemerlang dalam setiap perlawanan yang ditempuhi mereka.
"Kasut bola berkenaan akan diberikan secara bergilir dengan seorang pemain akan menerima sepasang kasut pada setiap bulan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Beliau bagaimanapun merahsiakan harga dan jenama kasut bola yang akan diberikan kepada pemain Kelantan.
Syarikat itu sebelum ini telah menyerahkan sepasang kasut, masing-masing kepada dua penyerang Kelantan iaitu Indra Putra Mahayuddin dan Nor Farhan Muhammad.
-- BERNAMA