Kelantan tamatkan kontrak penyerang import Muzungu
Bernama
Julai 31, 2024 21:38 MYT
Julai 31, 2024 21:38 MYT
KOTA BHARU: Penyerang import Chadrack Lukombe Muzungu menjadi pemain pertama ditamatkan kontrak oleh skuad Liga Super, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), berkuat kuasa hari ini.
Presiden KDN FC Rozi Muhamad berkata penamatan kontrak bekas pemain antarabangsa Congo berusia 27 tahun itu dicapai hasil persetujuan bersama kedua-dua pihak selepas tiga bulan bersama pasukan itu.
"Dia (Muzungu) menyertai KDN FC pada April lalu dan perpindahannya tidak berjalan seperti dirancang selepas diketepikan beberapa minggu kerana mengalami kecederaan.
"Sebaik kembali, dia gagal menembusi skuad utama termasuklah disisihkan pada tiga perlawanan terakhir Liga Super bulan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
"Pihak pengurusan ingin mengucapkan terima kasih kepada Muzungu atas usaha dan khidmatnya kepada pasukan serta kelab.
" Selamat maju jaya dalam karier bola sepak bersama kelab lain pada masa hadapan," katanya.
Beliau berkata pihaknya kini akan melakukan beberapa perubahan drastik termasuk membawa masuk beberapa pemain baharu pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang dibuka September ini.
-- BERNAMA