Kelantan hasrat lahirkan jaguh Muay Thai dunia seawal usia 12 tahun
Vivi Sumanti
Mac 22, 2022 19:53 MYT
Mac 22, 2022 19:53 MYT
KOTA BHARU: Persatuan Muaythai Kelantan (PMK) mensasarkan untuk melahirkan lebih ramai atlet Muay Thai kategori amatur bawah usia 12 tahun di negeri itu.
Presidennya, Mohd Azman Ghazali berkata, ia selari dengan misi persatuan itu untuk meletakkan lebih ramai atlet sukan muda di negeri itu untuk cemerlang hingga ke peringkat antarabangsa.
"Dalam tempoh dua tahun akan datang, kita mengadakan perancangan lebih tersusun untuk membawa sukan ini lebih jauh.
"Ia memberi ruang lebih luas kepada atlet sekali gus dapat membawa sukan Muay Thai ke peringkat antarabangsa," katanya pada sidang media PMK bersama kepimpinan lantikan Kelantan di sini tengah hari tadi.
Mohd Azman berkata, pihaknya juga akan mencungkil bakat anak muda seawal usia 9 tahun untuk menyaingi negeri lain yang sudahpun memiliki atlet muda terlatih.
Katanya lagi, pihaknya juga mahu merancakkan lagi sukan itu di Kelantan memandangkan penyertaan atlet muda Kelantan agak ketinggalan berbanding negeri lain di Malaysia.
"Kita mahu Kelantan meneruskan sukan tradisi ini kerana negeri ini merupakan pelopor kepada sukan ini.
"Kita ketinggalan dari segi pembangunan, pengiktirafan dan inilah perubahan yang perlu dilakukan," katanya.
Sehubungan itu, pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri, agensi sukan dan beberapa syarikat terkemuka di negeri itu.
Kerjasama itu antaranya lain untuk mengembangkan sukan Muay Thai di samping mencari bakat baharu.
Pada masa sama PMK tidak mahu sukan ini terus ketinggalan dengan menyediakan infrastruktur yang baik kepada atlet.
Tambahnya, empat perkara dalam pelan strategik sukan Muay Thai di negeri itu yang akan dibangunkan oleh pihaknya iaitu menjadikan pengurusan dengan lebih efisien, pembangunan atlet secara menyeluruh, kebajikan atlet dan hubungan rapat antara kerajaan negeri dengan Jabatan Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN).
Sementara itu, pihak PMK juga turut memperkenalkan barisan wakil Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) yang baharu.
Ia dianggotai Md Farek Md Urep dan Penganjur (Promoter) PMK, Mohd Khairul Hafiz Hassan, yang bertanggungjawab membawa platform sukan Muay Thai di Kelantan ke peringkat yang lebih tinggi.
Dalam pada Itu penganjur juga meningkatkan hadiah Kejohanan Muay Thai Antarabangsa dengan penajaan dari syarikat tempatan yang turut menawarkan hadiah lumayan, antaranya berupa sebuah kereta Honda, set barangan kemas, kepingan emas dan motosikal bagi menarik minat anak muda.
Ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan atlet tidak dijangkiti COVID-19, pihaknya berkata, ujian COVID-19 dilakukan sebelum masuk ke gelanggang latihan atau sebelum kejohanan bermula.