Kelantan harap gandingan Ghaddar dan Celin untuk tewaskan Tok Gajah malam ini - Zahasmi
Astro Arena
April 8, 2017 12:59 MYT
April 8, 2017 12:59 MYT
KETUA Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail yakin ‘magis’ penyerang importnya, Mohammad Ghaddar terus menjadi untuk merobek pertahanan Tok Gajah demi memburu tiga mata penuh dalam aksi Liga Super menentang Pahang di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
“Kita terus mengharapkan sentuhan berbisa (jaringan demi jaringan) yang dilakukan Mohammad Ghaddar dan yakin gandingannya bersama seorang lagi penyerang import, Alessandro Celin dapat mempamerkan aksi terbaik bagi merobek kubu pertahanan Tok Gajah.
“Biarpun Celin baru dua hari menyertai latihan bersama pasukan tetapi saya nampak semangatnya cukup kuat untuk membantu The Red Warriors (TRW). Insya-Allah, gandingan import ini mampu menghasilkan sesuatu malam ini,” katanya.
Zahasmi juga yakin ketiadaan pemain tengah kreatif, Morgaro Gomis akibat penggantungan permainan tidak memberi kesan kepada persembahan TRW sebaliknya mahukan pemain yang dipilih dapat mengisi kekosongan itu dengan baik.
“Kita kehilangan Gomis malam ini tetapi saya yakin pemain yang bakal menggantikannya mampu mengawal barisan tengah dengan baik dan kurang melakukan kesilapan mudah,”katanya.
Zahasmi juga mengakui skuad kendalian Dollah Salleh berada pada kemuncak prestasi selepas membenam Johor Darul Ta’zim (JDT) 3-1 dalam saingan suku akhir pertama Piala FA, di Kuantan, minggu lalu.
“Saya menghormati skuad Pahang dan kejayaan mereka mengalahkan JDT dalam saingan Piala FA minggu lalu membuatkan kita perlu berhati-hati dan tidak boleh memberikan banyak ruang untuk mereka bergerak bebas.
“Tetapi dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku. Kita beraksi di gelanggang sendiri dan sudah pasti mahu memburu tiga mata biarpun tahu Pahang sebuah pasukan yang sukar ditundukkan,”katanya.
#bola sepak
#Dollah Salleh
#JDT
#Kelantan
#Liga Super
#Mohammad Ghaddar
#Pahang
#penyerang import
#Piala FA
#The Red Warriors
#Zahasmi Ismail