Kelantan FC tiada penyerang 'sejati'
Sinar Harian
Oktober 6, 2023 09:15 MYT
Oktober 6, 2023 09:15 MYT
KETIADAAN penyerang sejati disifatkan punca Kelantan FC gagal menyerlah ketika berdepan Kelantan United dalam perlawanan timbal balik suku akhir kedua Piala Cabaran di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Itu yang dirumuskan pengendali The Red Warriors (TRW), Angel Alfredo Vera ketika para pemain mudanya tewas 0-4 sekali gus agregat 0-11 selepas kalah 0-7 kepada The Green Deers dalam aksi pertama pada 18 September lalu.
Jelasnya, situasi itu juga menyebabkan TRW tidak mempunyai pasukan terbaik untuk bersaing secara kompetitif dalam baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Menurutnya, kelompongan itu begitu memberikan kesan kepada pasukan yang dibarisi kebanyakan pemain muda dalam menterjemahkan setiap percubaan menjadikan bentuk jaringan.
"Barisan pemain muda Kelantan FC yang menggalas cabaran baki saingan musim ini masih belum cukup matang serta kurang keberanian dan kurang efektif dalam berkomunikasi antara mereka di padang.
"Ya, kami juga menyedari masalah ini, namun perlu meneruskan saingan Liga Malaysia dengan semua kudrat yang dimiliki pasukan Kelantan FC pada ketika ini.
"Malah, kami juga tidak boleh terlalu banyak alasan atau sebagainya sebaliknya kudrat pemain muda ini perlu diberikan lebih pendedahan bagi dapatkan pengalaman untuk kami seimbangkan ketika berdepan pasukan lain ketika kami juga tidak mempunyai pilihan ramai pemain," katanya.
Dalam pada itu pengendali kelahiran Argentina berusia 51 tahun itu yang pernah bermain di posisi pertahanan bersama beberapa kelab termasuk kelab Indonesia, Persekap Pasuruan, PSAP Sigli, PSS Sleman dan PSDS Deli Serdang menganggap penyertaan TRW dalam baki saingan Liga-M musim ini sebagai pentas pendedahan kepada para pemain muda.
"Pengalaman kami perolehi dalam Liga Malaysia musim ini diharap dapat membentuk asas kepada usaha memantapkan persiapan pasukan bagi tampil lebih kompetitif musim depan," katanya. - Sinar Harian