Kelantan FC serah dokumen tunggakan pembayaran gaji - MFL

Bernama
Disember 1, 2023 17:14 MYT
Skuad The Red Warriors sebelum ini diberikan tempoh hingga 30 Nov (semalam) bagi menyelesaikan isu gaji pemain yang masih tertunggak bagi Julai dan Ogos lepas.
KUALA LUMPUR: Unit pelesenan kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah menerima dokumen berhubung tunggakan pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan Kelantan FC semalam.
MFL dalam kenyataan hari ini memaklumkan dokumen itu dalam proses semakan oleh First Instance Body (FIB) untuk sebarang tindakan lanjut.
"Pengesahan pembayaran perlu dilakukan oleh FIB dengan semua pihak yang terlibat.
"Termasuk merujuk perkara itu dengan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) sebelum membuat pengumuman dalam masa terdekat mengenai status permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan FC bagi saingan Liga Super 2024-2025," menurut kenyataan itu.
Skuad The Red Warriors sebelum ini diberikan tempoh hingga 30 Nov (semalam) bagi menyelesaikan isu gaji pemain yang masih tertunggak bagi Julai dan Ogos lepas.
Kelantan menjadi satu-satunya pasukan yang masih belum mendapat lesen kebangsaan bagi musim 2024/2025 berikutan dibelenggu isu itu.
-- BERNAMA
#Kelantan FC #The Red Warriors #tunggakan gaji #lesen kebangsaan
;