Kelantan FC buat penjelasan isu tuntutan RM50,000
Sinar Harian
Julai 4, 2023 12:40 MYT
Julai 4, 2023 12:40 MYT
KELANTAN FC tampil memberikan penjelasan berkaitan tuntutan RM50,000 yang dikenakan kepada Nurshamil Abdul Ghani selepas pemain penyerang itu meminta penamatan kontrak secara bersama.
Bahagian perundangan Kelantan FC dalam satu kenyataan berkata, pihak kelab berhak menuntut nilai kompensasi bersamaan nilai gaji untuk baki tempoh kontrak pemain tersebut.
"Berdasarkan populariti dan reputasi yang dicapai oleh pemain tersebut bersama kelab juga kepentingannya dalam pasukan dan lebih penting pelaburan yang kelab belanjakan untuk pembangunan prestasi dan kebolehan bola sepak.
"Pihak kelab merasakan adalah tidak wajar untuk melakukan penamatan kontrak secara bersama tanpa sebarang kompensasi kepada kelab.
"Untuk pengetahuan, pemain tersebut mempunyai baki kontrak sehingga November 2024. Dalam kes penamatan kontrak sebelum tamat tempoh oleh pemain, sama ada secara bersama mahupun secara sebelah pihak, kelab berhak untuk menuntut nilai kompensasi bersamaan nilai gaji untuk baki tempoh kontrak pemain tersebut," kata kenyataan tersebut.
Sebelum ini, Nurshamil dilaporkan mendakwa perlu membayar RM50,000 untuk menamatkan kontrak biarpun atas persetujuan bersama.
Kelantan FC menjelaskan, pihak kelab menerima permohonan untuk penamatan kontrak secara bersama daripada pemain tersebut yang memohon pada bulan Mei sebagai bulan terakhir bersama kelab.
"Dalam kes ini, pemain tersebut masih mempunyai 18 bulan (Jun 2023 – November 2024) baki tempoh kontrak lagi. - Sinar Harian