Kelantan FC bawa masuk dua import baharu perkuat pasukan

Bernama
Jun 26, 2022 12:30 MYT
Felipe Hereda (kiri) pernah beraksi bersama tiga kelab di Brazil sementara Kenta Hara (kanan) memiliki kebolehan bermain di bahagian sayap kiri dan kanan. - Facebook TRW Kelantan FC
KOTA BHARU: Kelantan FC mengambil dua pemain import baharu bagi memperkuat pasukan itu pada jendela perpindahan kedua saingan Liga Premier musim ini.
Kelantan FC dalam kenyataan hari ini memaklumkan dua pemain itu adalah pemain tengah Felipe Hereda, 28, dari Brazil dan pemain sayap Kenta Hara, 26, dari Jepun dan masing-masing telah menandatangani kontrak bersama pasukan semalam.
"Felipe Hereda pernah beraksi bersama tiga kelab di Brazil iaitu Santo Andre FC, Foz Do Iguacu FC dan Club Sportivo Sergipe (SE) sebelum berhijrah ke Bahrain bersama kelab East Riffa dan Budaiya Club.
"Kenta Hara pula yang memiliki kebolehan (bermain) di bahagian sayap kiri dan kanan, mempunyai pengalaman beraksi di beberapa kelab seperti FK Alfa Modrica di Bosnia-Herzegovina, Port Kembla FC di Australia dan SC Kapellen-Erft di Jerman," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Kelantan FC turut membawa masuk pemain tengah Shafiq Al-Hafiz Dawawi, 25, yang mempunyai pengalaman empat tahun beraksi dalam saingan Liga Super bersama UiTM FC dan Penang FC.
Pasukan itu kini mengungguli tangga Liga Premier selepas mengumpul 22 mata hasil daripada tujuh kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.
-- BERNAMA
#Kelantan FC #pemain import baharu #Kenta Hara #Felipe Hereda
;