Kelantan Darul Naim mohon SSI sebagai gelanggang tuan rumah

Astro Arena
September 12, 2024 12:50 MYT
Stadium Sultan Ibrahim. - Foto Astro ARENA
PASUKAN dari pantai timur, Kelantan Darul Naim FC hari ini mengesahkan telah membuat permohonan kepada pihak MFL untuk menggunakan Stadium Sultan Ibrahim sebagai gelanggang tuan rumah bagi aksi minggu ke-11 Liga Super Malaysia 2024/25.
Menerusi satu hantaran di laman sosial, Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata, pihaknya telah mendapat persetujuan bersama dengan JDT berhubung perubahan venue itu susulan Stadium Sultan Muhammad IV masih dalam proses naik taraf sehingga pertengahan Oktober depan.
Beliau berkata, pihaknya telah mengambil pertimbangan setiap aspek dengan mengambil kira jadual perlawanan yang telah dikeluarkan oleh MFL untuk memilih SSI sebagai gelanggang tuan rumah KDN FC.
“Stadium Sultan Muhammad IV terpaksa ditutup buat sementara waktu bagi proses naik taraf jadi kami memohon agar venue perlawanan Liga Super dengan JDT diubah ke SSI.
"Bagi pihak KDN FC, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memberikan kebenaran dan hak kepada kami untuk menjadi tuan rumah di SSI.
“Bagaimanapun ketika ini pihak kami masih menunggu kebenaran daripada MFL berkenaan perubahan venue ini.
"Pemilihan venue SSI ini juga dibuat memandangkan perlawanan seterusnya KDN FC adalah menentang Negeri Sembilan FC di Paroi pada 27 September 2024.
“Oleh kerana lokasi kedua-dua venue berada berdekatan maka KDN FC bersetuju mengalihkan perlawanan ke SSI kerana dapat menjimatkan kos pengurusan.
“Kami sedar bahawa permohonan ini adalah di luar kebiasaan namun kami berharap MFL dapat mempertimbangkannya dengan mengambil kira masalah penutupan venue KDN FC,” katanya.
Kelantan Darul Naim FC dijadualkan untuk menentang JDT dalam aksi Liga Super Malaysia minggu ke-11 pada Ahad, 22 September 2024.
#Kelantan Darul Naim FC #Stadium Sultan Ibrahim #Liga Super #Stadium Sultan Muhammad IV ditutup sementara
;