Kelahiran Formula-E di litar lumba

Astro Awani
April 13, 2013 17:00 MYT
Selepas Formula One, kini muncul satu lagi perlumbaan dilihat mampu menarik perhatian ramai yang bakal diperkenalkan sebagai Formula E.
Berkonsepkan jentera lumba berkuasa elektrik, perlumbaan rasmi dijadualkan bermula pada pertengahan tahun depan.
Pada sesi pengenalannya yang turut dihadiri dua pelumba, Nicolas Prost dan Lucas di Grassi, mereka turut berkongsikan pendapat mengenai kelainan dan kelebihan jentera berkuasa elektrik ini.
“Memandu kereta elektrik yang berkuasa tinggi adalah sesuatu yang luar biasa bagi saya, untuk pertama kalinya kami sebagai pemandu boleh mengetahui bagaimana keadaan kenderaan yang sebenar sewaktu berlumba,” kata Lucas dengan teruja.
Meskipun hanya menggunakan kuasa elektrik, jentera Formula E mampu melepasi kelajuan 250 kilometer sejam sebagai kelajuan maksimum.
“Saya sangat kagum dengan perkembangan teknologi yang dilampirkan jentera berkuasa elektrik itu. Saya sendiri dapat rasakan perbezaan yang ketara semasa memandu kenderaan ini,” kata Nicolas Prost.
Setakat ini lapan litar lumba telah disahkan bakal menjadi venue perlumbaan Formula E antaranya di London, Rome, Rio De Janeiro, Miami dan Beijing.
Tidak ketinggalan, Malaysia turut menjadi salah satu daripadanya dengan memilih Putrajaya sebagai lokasi perlumbaan.
#Formula E #litar lumba #Lucas #Nicolas Prost
;