Kelab Inggeris takluk Eropah musim ini

Ian Johan Ariff
Mei 10, 2019 08:00 MYT
Empat kelab Inggeris layak ke dua pentas final kejohanan Eropah buat kali pertama dalam sejarah.
PERTAMA kali dalam sejarah, empat kelab Inggeris mengambil semua empat slot final dalam dua kejohanan benua Eropah.
Selepas Tottenham Hotspur dan Liverpool menempah slot final Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Arsenal dan Chelsea pula layak ke final Liga Europa awal pagi Jumaat.
Chelsea menang menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri 1-1 dengan Eintracht Frankfurt.
Eden Hazard menjaringkan sepakan penalti kemenangan selepas Kepa Arrizabalaga bertindak cemerlang menafikan dua sepakan lawan.
Arsenal pula memiliki jalan yang lebih mudah dengan hatrik yang disempurnakan Pierre-Emerick Aubameyang melakar kemenangan 4-2 ke atas Valencia dan 7-3 secara agregat.
Dua perlawanan akhir sebelum ini pernah melibatkan pertarungan antara dua kelab Inggeris iaitu Tottenham mengalahkan Wolves pada final Piala UEFA 1971/72 dan Manchester United mengalahkan Chelsea di UCL 2007/08.
Tiga wakil Sepanyol pernah layak ke final pada musim 2015/16, di mana Real Madrid bertemu Atletico Madrid di UCL dan Sevilla menjuarai Liga Europa.
Final Liga Europa akan berlangsung di Stadium Olimpik Baku, Azerbaijan pada 29 Mei manakala final UCL pula pada 1 Jun di Estadio Metropolitano, Madrid.
Kejayaan empat kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) ini juga mengesahkan dua wakil kelab Inggeris akan bersaing pada final Piala Super Uefa di Istanbul, Turki pada 14 Ogos 2019.
#Arsenal #Eden Hazard #Eintracht Frankfurt #EPL #Frankfurt #Istanbul #Kepa Arrizabalaga #Liga Juara-Juara Eropah #Liga Perdana Inggeris #Liverpool #Piala Super Uefa #Piala UEFA #Stadium Olimpik Baku #Tottenham Hotspur #UCL #Valencia
;