Kelab China sanggup bayar RM58 juta untuk dapat khidmat Dembele

Ian Johan Ariff
Januari 8, 2019 20:49 MYT
Mousa Demble menjaringkan 12 gol untuk Tottenham Hotspur sejak menyertai kelab itu pada 2012. - Foto REUTERS
KELAB Liga Super China, Beijing Guoan akan membayar £11 juta (RM57.78 juta) untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Tottenham Hotspur, Mousa Dembele.
Pemain antarabangsa Belgium itu tidak memperbaharui kontrak bersama Spurs yang akan tamat pada Jun tahun ini dan tidak beraksi untuk kelab itu sejak cedera pergelangang kakinya pada November tahun lepas.
Dembele membuat 243 penampilan dalam saingan Liga Perdana Inggeris dengan menjaringkan 12 gol dan 12 ‘assists’ sejak menyertai Spurs pada 2012.
Tindakan ini merupakan salah satu usaha pengerusi kelab itu, Daniel Levy untuk mengurangkan jumlah pemain daripada skuad bimbingan Mauricio Pochettino itu.
Penyerang, Vincent Janssen juga dikatakan bakal meninggalkan kelab London itu pada perpindahan Januari ini.
Disebalik cukai 100 peratus yang dikenakan terhadap bayaran perpindahan oleh kerajaan China untuk Liga Super China, ia tidak menghalang kelab-kelab bola sepak di sana berbelanja besar untuk mendapatkan pemain yang berkualiti.
Syarat had maksimum gaji pemain yang diperkenalkan untuk musim baharu nanti juga menyaksikan pemain antarabangsa berhijrah ke China dan musim lepas lebih £170 juta dibelanjakan untuk membawa pemain luar beraksi di negara itu.
Musim ini sahaja, lebih £100 juta sudah dibelanjakan dan Dembele merupakan pembelian berprofil tinggi yang terbaharu setakat ini.
#Beijing Guoan #Daniel Levy #Liga Perdana Inggeris #Liga Super China #Mauricio Pochettino #Mousa Dembele #Spurs #Tottenham Hotspur #Vincent Janssen
;