Kekuatan mental penting untuk Perancis - Giroud
Astro Arena
Julai 13, 2018 17:38 MYT
Julai 13, 2018 17:38 MYT
OLIVIER GIROUD percaya tumpuan kepada kekuatan mental adalah faktor Perancis kini sebuah pasukan yang berbeza jika dibandingkan ketika tewas kepada Portugal dalam final Euro 2016.
Giroud akan mengetuai jentera serangan Perancis berdepan Croatia dalam aksi final Piala Dunia pada Ahad ini, menggantikan Ousmane Dembele sejak aksi kedua peringkat kumpulan berdepan Peru.
Les Bleus merupakan pasukan pilihan menjulang gelaran selepas menyingkirkan Argentina, Uruguay dan Belgium dan Giroud berkata Perancis tidak akan melepaskan peluang lagi untuk muncul juara.
“Ia amat berbeza,. Selepas kami mengatasi Jerman dalam separuh akhir (Euro 2016), kami amat gembira di atas kemenangan itu. Selepas menewaskan Belgium, kami lebih tenang dan meletakkan tumpuan untuk aksi final.
“Ia bukan perasaan yang sama -- kami perlu menang satu lagi perlawanan dan tidak mahu melepaskan peluang ini.
“Anda tidak mampu memenangi Piala Dunia dengan bakat, ia tidak mencukupi. Kekuatan mental amat penting untuk mempamerkan aksi terbaik," katanya.
Penyerang Chelsea itu masih belum menjaringkan gol di Rusia tetapi menyedari peranannya adalah memastikan keseimbangan dan kelancaran permainan.
“Berdepan Belgium, saya agak tumpul dan berharap untuk menjaringkan gol dalam aksi final," katanya lagi.
“Tetapi sepanjang saingan, saya telah melakukan tiga bantuan jaringan dan ia adalah sangat penting untuk memastikan Perancis meraih kemenangan."