Kekecohan di Stadium Shah Alam: Rambo, Lekir dan enam lagi ditahan polis
Astro Awani
September 12, 2015 13:28 MYT
September 12, 2015 13:28 MYT
Polis telah berjaya menahan seorang penyokong tegar bola sepak Alfadli Awaludin,33, atau dikenali dengan gelaran Rambo, dan Mohd Ridzuan Ahmad, 36, atau popular dengan panggilan Lekir.
Kedua-duanya adalah antara 14 suspek yang sedang diburu berkaitan insiden membakar mercun dan suar di Stadium Shah Alam sewaktu perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/ Piala Asia 2019 antara pasukan Malaysia dan Arab Saudi pada Selasa.
Mereka telah ditahan antara jam 10 malam Khamis hingga 5 pagi Jumaat di lokasi berbeza, kata polis seperti yang dilapor akhbar Kosmo!.
Baju-T dan topi Ultras Malaya juga dirampas semasa penangkapan tersebut, kata polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat, selain dua suspek tersebut, polis juga menahan enam lagi yang lain.
“Lekir ditahan di Labu, Negeri Sembilan, Rambo di Seksyen 9, Shah Alam manakala yang lain ditahan sekitar Kuala Lumpur,” katanya.
Terdahulu Shafien berkata berdasarkan maklumat, selain Rambo, individu dengan gelaran Tok Anjang dan Shap juga dipercayai menjadi pemimpin kumpulan Ultras Selangor.
Pada Selasa, penyokong dan peminat tegar Harimau Malaya yang dikenali sebagai Ultras Malaya mencetuskan kekecohan di Stadium Shah Alam dengan melempar bom asap dan membakar mercun serta suar ke padang.
Pengadil perlawanan Liu Kwok Man dari Hong Kong membuat keputusan menghentikan perlawanan atas sebab-sebab keselamatan.
BACA: 'FAM adalah punca bola sepak tanah air rosak - TMJ
Lanjutan daripada insiden itu, Pesuruhjaya Sukan telah menghantar surat kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mendesak laporan mengenai tindakan penyokong bola sepak dalam perlawanan malam itu.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata FAM mungkin berdepan penggantungan jika laporan yang dikemukakan kepada Pesuruhjaya Sukan itu dalam tempoh 14 hari, tidak memuaskan.