Kekalahan yang sukar diterima - Arul

Bernama
Ogos 13, 2023 18:12 MYT
Arul bagaimanapun gembira kerana pemainnya kini lebih tajam dan tangkas di bahagian serangan untuk mendapatkan jaringan menerusi gol padang dan pukulan sudut penalti. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih A. Arul Selvaraj mengakui amat sukar untuk skuad Speedy Tigers menerima kekalahan tipis 3-4 kepada India selepas mendahului dua gol pada aksi final Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 di Chennai, India, semalam.
Pencapaian muncul naib juara pada edisi kali ini adalah rekod terbaik negara sejak ACT diperkenalkan pada 2011 selepas menghuni tempat ketiga pada edisi 2011, 2012, 2013, 2016 dan 2018.
Bagaimanapun, katanya, anak didiknya harus bertabah dan terus merningkatkan tahap kemampuan menjelang Sukan Asia Hangzhou bermula 23 Sept hingga 8 Okt ini bagi mengesahkan tiket ke Olimpik Paris 2024.
"Kita kena berusaha untuk belajar buat keputusan di saat-saat genting atau semasa berada dalam situasi tertekan. tekanan...India adalah antara empat pasukan terbaik dunia dan sentiasa bermain perlawanan berintensiti tinggi dengan pasukan seperti Belgium, Belanda dan Australia.
"Sebab itu kita harus bermain dengan pasukan seperti ini dan perlu belajar untuk mengurangkan kesilapan," kata jurulatih skuad hoki negara itu menerusi video, hari ini.
Beliau turut bersyukur apabila anak-anak buahnya berjaya mengelakkan sebarang kecederaan serius pada kejohanan dengan jadual padat dan perlu beraksi dalam tujuh perlawanan dalam masa 10 hari bermula 3 Ogos lalu.
Arul juga gembira kerana pemainnya kini lebih tajam dan tangkas di bahagian serangan untuk mendapatkan jaringan menerusi gol padang dan pukulan sudut penalti.
"Kita mempunyai beberapa pemain yang boleh menjaringkan gol padang dan keempat-empat percubaan sudut penalti menghasilkan gol. Latihan bersama dua pakar dari Australia - Kieren Govers dan Glen Turner banyak membantu kita dan nampak hasil dengan bagus," katanya.
Pada aksi malam tadi, skuad Speedy Tigers mendahului 3-1 pada suku kedua, namun India, pasukan di ranking dunia ketiga, berjaya menyamakan kedudukan menerusi dua jaringan pantas pada minit terakhir suku ketiga, sebelum mengesahkan gelaran ACT keempat menerusi jaringan kemenangan empat minit sebelum wisel penamat.
Malaysia, yang menang lima daripada tujuh perlawanan sepanjang ACT kali ini, turut berjaya melonjak ke ranking dunia kesembilan dengan memintas Korea Selatan yang kini berada di tangga ke-11.
-- BERNAMA
#hoki #A Arul Selvaraj #Speedy Tigers #Trofi Juara-Juara Asia
;