Kekalahan mengejut beri pengajaran berguna kepada Natasha

Bernama
November 3, 2023 17:38 MYT
Natasha yang merangkul pingat emas acara individu wanita pada Kejohanan Dunia di Kuwait awal bulan lepas berkata kekalahan itu adalah satu proses pembelajaran yang amat berguna kepada dirinya. - Gambar fail/ Bernama
PETALING JAYA: Pemain boling elit wanita negara, Natasha Mohamed Roslan mengalami kekalahan mengejut pada Kejohanan Boling Kebangsaan ke-45 semalam, selepas kira-kira sebulan muncul juara dunia buat kali pertama.
Natasha yang merangkul pingat emas acara individu wanita pada Kejohanan Dunia di Kuwait awal bulan lepas berkata kekalahan itu adalah satu proses pembelajaran yang amat berguna kepada dirinya.
Menurutnya kekalahan itu akan mematangkan beliau dalam menghadapi kejohanan seterusnya, selain perlu berdepan pelbagai cabaran untuk beraksi pada tahap optimum dalam tempoh yang singkat.
"Saya kecewa tetapi ini adalah proses pembelajaran sebab saya sedang menyesuaikan diri dengan bola baru dan pada masa sama berehat selama seminggu selepas (aksi di) Kuwait disebabkan kecederaan jari yang koyak.
"Secara beransur, saya berusaha dapatkan rentak dan akan buat persiapan yang lebik baik untuk Terbuka Kuala Lumpur minggu depan," kata atlet berusia 27 tahun itu yang menyasarkan untuk sekurang-kurangnya berada dalam kelompok tiga terbaik pada kejohanan kebangsaan, ketika ditemui di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway di sini.
Pada saingan Masters Terbuka Wanita di sini semalam, Natasha menamatkan saingan di posisi ke-15 daripada keseluruhan 18 peserta dengan melakukan 1,489 jatuhan pin sekali gus gagal mara ke saingan 'step-ladder'.
Gelaran juara diraih rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan, Sin Li Jane selepas mengatasi seorang lagi atlet negara Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman 196-180 pada aksi penentuan 'step ladder', sekali gus menambah koleksi kejuaraan buat kali keempat.
Pada kejohanan dunia di Kuwait, Natasha menewaskan Li Jane di final untuk dinobatkan sebagai juara dunia.
Natasha dan Li Jane merupakan sebahagian daripada skuad juara dunia acara berpasukan wanita di Las Vegas, Amerika Syarikat pada 2017 yang turut dibarisi legenda Datuk Shalin Zulkifli, Siti Safiyyah dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi.
-- BERNAMA
#boling #Natasha Mohamed Roslan #prestasi semasa #Kejohanan Boling Kebangsaan
;