Kekalahan kepada Wolves adalah 'persembahan terburuk Man Utd' - Solskjaer

Israr Khalid
Mac 17, 2019 13:18 MYT
SOLSKJAER: Kami bermula lambat dan bermain mengikut rentak mereka.
PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menyifatkan kekalahan kepada Wolverhampton Wanderers pada petang Sabtu adalah ‘satu langkah besar ke belakang’.
United kalah 1-2 kepada pasukan bawahan Liga Perdana Inggeris itu di Stadium Molineux, sekali gus memusnahkan harapan untuk meneruskan kemaraan ke pusingan separuh akhir Piala FA.
Ini juga adalah kekalahan kedua berturut-turut yang pertama sejak pengurus kelahiran Norway itu mengambil alih kerusi yang ditinggalkan Jose Mourinho pada Disember sebagai pengendali interim, selepas tewas kepada Arsenal dalam saingan liga Ahad lepas.
“Ini adalah (persembahan) yang terburuk.
“Kami bermula lambat dan bermain mengikut rentak mereka. Penguasaan bola kami juga kurang memuaskan dan kurang pantas, jadi ia sangat mengecewakan,” kata Solskjaer kepada BBC Sport.
Pelawat hanya mampu meraih gol saguhati menerusi Marcus Rashford pada minit ke-95 selepas Raul Jimenez dan Diogo Jota menyentak ego Red Devils masing-masing pada minit ke-70 dan 76.
Solskjaer menyifatkan pasukannya tumpul pada bahagian serangan dan gagal memanfaatkan penguasaan bola pada separuh masa pertama, memberi peluang lawan untuk memperkemas permainan mereka.
“Ini adalah satu langkah besar ke belakang, terutamanya melihat kepada kualiti penguasaan dan hantaran.
Pengendali berusia 46 tahun itu menegaskan mereka perlu bangkit dan melakukan sesuatu untuk memastikan buruan tempat empat teratas dalam saingan liga terus menyala, juga berdepan Barcelona dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.
Beliau juga enggan mengulas lanjut mengenai masa depannya untuk dilantik sebagai pengurus tetap United susulan kekalahan ini.
“Saya akan berada di sini sehingga musim panas, dan banyak lagi perlawanan untuk dimainkan dalam liga dan Liga Juara-Juara,” katanya.
#bola sepak #kalah #Manchester United #Ole Gunnar Solskjaer #Piala FA #Red Devils #Wolverhampton Wanderers #Wolves
;