Kekal fokus, saran Amri kepada dua pemain kelahiran Johor di JDT
Astro Arena
Oktober 31, 2015 16:00 MYT
Oktober 31, 2015 16:00 MYT
Pemain paling senior dalam skuad Johor Darul Ta'zim (JDT), Amri Yahyah sedar aksi final Piala AFC berdepan Istiklol FC malam ini mungkin satu-satunya peluang buat dirinya meraih sebuah kejuaraan peringkat Asia sebelum menamatkan karier.
Amri yang sudah menjangkau usia 34 tahun, akui tidak menjangka mampu mendapat peluang beraksi di pentas akhir saingan kelab peringkat Asia.
Menyedari hakikat itu, pemain kelahiran Tanjung Karang itu enggan melepaskan peluang meraih kejuaraan dan memberi jaminan untuk menjelmakan aksi terbaiknya berdepan Istiklol.
Dalam pada itu, Amri turut memberi saranan kepada dua pemain kelahiran Johor dalam skuad JDT, Fazly Mazlan dan Jasazrin Jamaluddin agar fokus dan bermain seperti biasa dipamerkan dalam liga Malaysia.
Tidak seperti pemain lain dalam skuad JDT yang pernah merasai bahang beberapa perlawanan akhir bersama skuad negara, kedua dua pemain itu akan melakukan penampilan sulung di pentas akhir sebuah kejohanan utama peringkat antarabangsa.
Nama Amri Yahya tidak asing lagi dalam kancah bolasepak dan diharapkan peluang yang diidamkan untuk dinobatkan juara akan menjadi realiti malam nanti.
Seluruh rakyat Malaysia menantikan pertemuan ini, dengan harapan JDT menjadi pasukan Malaysia pertama yang menjulang Piala AFC. Saksikannya secara langsung di Fox Sports 3 pada 7.55 malam nanti.