Kejurulatihan, pengadilan bakal dimasukkan dalam kursus kokurikulum IPT
Bernama
November 27, 2021 05:27 MYT
November 27, 2021 05:27 MYT
KUALA LUMPUR: Kursus kejurulatihan dan pengadilan bola sepak bakal dimasukkan dalam kokurikulum sukan Institusi Pengajian tinggi (IPT) agar mahasiswa memperoleh peluang memiliki sijil yang diiktiraf untuk perkembangan kerjaya mereka.
Menyambut baik keputusan itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk S. Sivasundaram berkata generasi muda dapat menjadikannya sebagai salah satu pilihan karier serta membantu dari sudut kesihatan fizikal dan mental.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan serta Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, berkata kursus awalan itu juga perlu dilihat sebagai satu cara untuk menerapkan nilai disiplin yang tinggi dalam kalangan belia masa kini.
"Individu berminat menjadi jurulatih dan pengadil wajar diberi ruang dan peluang apabila mereka melangkah ke menara gading. Kita tak boleh biarkan senario terdahulu berulang apabila mereka harus memilih antara laluan akademik yang amat luas dan laluan sukan secara profesional yang tidak begitu diberikan pendedahan setara.
"Akhirnya bakat mereka tidak lagi digilap dan bola sepak kemudiannya dianggap sekadar hobi atau sukan sosial sesama rakan sebaya. Kita harus membina asas dari bawah, bukannya dari bumbung, tak kiralah bagi seseorang pemain, pengadil mahupun jurulatih," katanya menerusi kenyataan daripada FAM semalam.
Pada Jumaat, beliau merasmikan Sesi Taklimat Kejurulatihan dan Kepengadilan FAM Kepada Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pengarah Pusat Sukan IPTA Malaysia di Kuantan, Pahang, yang turut dihadiri Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar KPT Dr Pekan Ramli.
Menurut Sivasundaram, perbincangan mengenai usaha tersebut telah dimulakan ketika pertemuan melibatkan Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dengan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada 7 Okt lepas.
"Saya mewakili FAM amat berbesar hati apabila KPT mengambil serius akan perkara ini dan kami turut teruja untuk melihat perubahan bakal dibawakan ke dalam struktur pembelajaran IPT. FAM juga amat menghargai usaha dilakukan oleh pihak KPT dalam memastikan sukan dan tuntutan akademik bergerak seiring.
"Melalui usaha sama antara KPT dan FAM ini, besarlah harapan saya agar subjek kokurikulum kejurulatihan dan pengadil ini akan dapat dipertimbangkan dan seterusnya dilaksanakan dalam struktur pembelajaran siswa-siswi di seluruh IPT di negara ini," katanya.
-- BERNAMA