Kejuaraan interim UFC: Siapa bakal bertemu Khabib nanti?
Hilmi Ismail
April 13, 2019 22:20 MYT
April 13, 2019 22:20 MYT
SELEPAS seminggu UFC 'berehat' dari sebarang acara, minggu ini bakal menyaksikan acara 'pay per view' kembali dalam kalendar dunia sukan seni bela diri campuran (MMA).
Bagi peminat MMA khususnya pengikut UFC, anda tentunya tidak mahu terlepas aksi pada acara UFC 236 yang bakal berlangsung pada Ahad.
Kali ini UFC mempertaruhkan dua kejuaraan bagi acara utama dan 'co-main event'. Namun apa yang menarik, ini adalah kali pertama dalam sejarah, UFC menganjurkan dua perlawanan kejuaraan interim (sementara) pada acara PPV mereka.
Kejuaraan interim yang bakal dipertandingkan adalah bagi divisyen lightweight dan Middleweight.
Bagi yang tertanya-tanya, mengapa kejuaraan interim dipertaruhkan, mari kita lihat situasi sebenar.
Anda pasti ingat tentang pergaduhan yang tercetus selepas pertarungan antara Khabib Nurmagomedov dan Conor McGregor, October lepas. Akibat dari insiden itu, kedua-kedua petarung telah digantung dari sebarang perlawanan MMA -- enam bulan bagi McGregor dan sembilan bulan bagi Khabib.
Khabib merupakan juara bagi divisyen lightweight. Dan tempoh sembilan bulan tanpa mempertahankan kejuaraannya adalah satu jangka waktu yang lama.
Melihat kepada perkembangan itu, UFC berpendapat kejuaraan interim bagi divisyen lightweight harus dipertandingkan. Pemenang bagi kejuaraan interim ini akan bertemu dengan juara lightweight sebenar Khabib, apabila beliau layak bertanding kelak.
UFC telah memilih Dustin Poirier dan Max Holloway bagi menentukan siapa bakal bergelar juara interim bagi divisyen lightweight.
Holloway, petarung berusia 27 tahun, merupakan juara bagi divisyen featherweight. Namun pemilihan Holloway untuk bertanding dalam divisyen lightweight bukanlah perkara baru.
Presiden UFC, Dana White sebelum ini telah beberapa kali menyatakan hasrat beliau untuk melihat Holloway naik dan bertarung dalam divisyen lightweight.
Dustin Poirier pula, merupakan petarung yang menduduki ranking ketiga di divisyen lightweight. Menduduki ranking pertama adalah Tony Ferguson, namun tidak dapat bertanding atas alasan masalah peribadi dan keluarga. Manakala ranking kedua pula diduduki oleh Conor McGregor yang telah digantung enam bulan.
Maka Poirier, petarung berusia 30 tahun adalah yang paling layak bertanding untuk merebut kejuaraan interim lightweight.
Tambah menarik adalah perlawanan Holloway vs Poirier ini merupakan "rematch". Kali pertama mereka bertemu adalah pada 7 tahun dahulu di mana Poirier meraih kemenangan menerusi kuncian 'armbar' pada pusingan pertama.
Namun harus diingat kedua-kedua petarung ini bukanlah petarung yang memiliki set skill yang sama. Mereka sudah lebih berpengalaman dan Holloway pula telah menjadi juara featherweight sejak 2017 serta berjaya mempertahankan kejuaraan sebanyak dua kali.
Bagi 'co-main event' pula, kejuaraan interim divisyen middleweight akan dipertandingkan. Jaguh dari New Zealand, Israel Adesanya yang berusia 29 tahun bakal bertemu dengan petarung berusia 27 tahun dari Amerika Syarikat, Kelvin Gastelum.
Mengapa kejuaraan interim middleweight dipertaruhkan? Jawapannya mudah. Juara middleweight sebenar, Robert Whittaker dari Australia telah diserang penyakit hernia dan memerlukan pembedahan segera. Ini berlaku kurang 24 jam sebelum perlawanan beliau menentang Kelvin Gastelum pada acara UFC 234 Februari lepas.
Akibat pembedahan tersebut, Whittaker terpaksa berehat dari sebarang perlawanan MMA untuk beberapa bulan.
Melihat keadaan tersebut, UFC bertindak menganjurkan perlawanan bagi merebut kejuaraan interim bagi divisyen middleweight.
Seperti biasa, pemenang perlawanan antara Kelvin Gastelum dan Israel Adesanya, bakal bertemu dengan Whittaker bagi menentukan juara sebenar bagi divisiyen middleweight.
Menarik tentang perlawanan ini adalah, Adesanya memiliki rekod MMA tanpa kalah dengan 16 kemenangan, 13 daripadanya adalah melalui 'knockout'.
Walaupun begitu, Gastelum tidak harus dipandang sebelah mata. Dengan rekod MMA 15-3, beliau sebelum ini berjaya menewaskan beberapa bekas juara middleweight seperti Michael Bisping dan Ronaldo Souza.
Perlawanan Holloway vs Poirier dan Gastelum vs Adesanya sudah menjadi sebab yang cukup kuat untuk anda bersantai di depan kaca TV.
Holloway atau Poirier? Gastelum atau Adesanya? Siapa pilihan anda?
#Conor McGregor
#Dana White
#divisyen lightweight
#divisyen middleweight
#Dustin Poirier
#Khabib Nurmagomedov
#Max Holloway
#MMA
#pay per view
#seni bela diri campuran
#Tony Ferguson
#UFC