Kejohanan Wimbledon: Novak Djokovic-Nick Kyrgios jadi pertemuan final penuh emosi
Astro Arena
Julai 9, 2022 09:30 MYT
Julai 9, 2022 09:30 MYT
NOVAK Djokovic berpesan kepada peminat agar menjangkakan satu pertarungan penuh beremosi ketika berdepan Nick Kyrgios ketika turun merekodkan final grand slam ke-32 dalam Kejohanan Wimbledon, Isnin ini.
Djokovic mengatasi Roger Federer (31) untuk penampilan perlawanan akhir kejohanan utama lelaki itu menerusi kemenangan empat set ke atas Cam Norrie dalam pertembungan separuh akhir, sebentar tadi.
Ini bermakna dia akan menentang Kyrgios yang mara tanpa turun ke gelanggang selepas Rafael Nadal menarik diri dalam satu lagi aksi separuh akhir gara-gara kecederaan perut.
Juara Wimbledon enam kali itu tidak pernah menewaskan Kyrgios apabila disingkirkan dalam setiap pertemuan, iaitu ketika di Acapulco dan Indian Wells pada 2017 secara straight set.
Pertemuan ketiga ini bakal mencetuskan satu emosi yang tinggi.
Apatah lagi Djokovic meniupkan ciuman ke arah pencemuhnya di Gelanggang Tengah itu sebaik menewaskan Norrie sementara Kyrgios, yang terkenal dengan gelagat panas barannya di gelanggang, baru-baru ini menampilkan prestasi hebat dalam pertemuan pusingan ketiga dengan pilihan keempat, Stefanos Tsitsipas.
"Satu perkara yang pasti, akan muncul percikan 'bunga api' secara emosi daripada kami berdua," katanya selepas pertarungan.
“Ia akan menjadi final grand slam pertamanya. Jelas sekali dia sangat, sangat teruja, dia jarang tewas dan dia sentiasa bermain seperti itu.
“Dia beraksi dengan begitu bebas, mempunyai salah satu servis paling kencang, secara keseluruhannya dia memang handal, pukulannya cukup bertenaga.
"Kami sudah lama tidak bertemu. Saya tidak pernah menang satu set pun ke atasnya jadi harap ia jalan cerita berbeza kali ini.
"Satu lagi perlawanan akhir Wimbledon untuk saya dalam kejohanan yang cukup saya gemari ini jadi harap pengalaman itu boleh memihak saya."