Kejohanan Wimbledon: Nick Kyrgios terpaksa tarik diri kerana kecederaan
Astro Arena
Julai 3, 2023 10:20 MYT
Julai 3, 2023 10:20 MYT
NICK Kyrgios terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Tenis Wimbledon tidak sampai sehari sebelum kejohanan grand slam itu membuka tirai gara-gara kecederaan pergelangan tangan.
Pemain Australia itu, yang tewas kepada Novak Djokovic dalam final tahun lalu, terlebih dahulu menimbulkan persoalan mengenai penyertaannya.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dalam media sosialnya, Kyrgios berkata: "Saya amat sedih untuk memaklumkan bahawa saya terpaksa menarik diri daripada Wimbledon tahun ini.
"Sewaktu kepulangan saya, saya berasa kesakitan di pergelangan tangan sewaktu di Mallorca.
"Sebagai langkah berjaga-jaga, saya perlu menjalani imbasan dan keputusannya mendapati saya mengalami koyak ligamen di pergelangan tangan.
"Saya sudah melakukan segala-galanya untuk dapat bermain dan agak kecewa untuk berkata bahawa saya tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menanganinya sebelum Wimbledon," katanya.
Kyrgios sepatutnya membuka kempen dengan bertemu pemain Belgium, David Goffin, di Court One hari ini.
Pemain berusia 28 tahun itu masih belum dapat melakukan sebarang penampilan grand slam tahun ini selepas turut menarik diri daripada Terbuka Australia pada Januari lalu gara-gara kecederaan lutut serius.