Kejohanan Wimbledon: Nadal lawan kesakitan untuk tewaskan Fritz, mara ke separuh akhir
Astro Arena
Julai 7, 2022 13:25 MYT
Julai 7, 2022 13:25 MYT
IMPIAN Rafael Nadal untuk memenangi kesemua gelaran grand slam musim ini kekal bernyala selepas mengatasi cabaran sengit Taylor Fritz untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Tenis Wimbledon awal pagi tadi.
Beraksi dalam suku akhir kejohanan utama buat kali ke-47 -- yang pertama buat Fritz -- Nadal terpaksa menahan kesakitan sebelum mencatatkan kemenangan 3-6, 7-5, 3-6, 7-5, 7-6 di Centre Court.
Nadal, yang kerap diperiksa oleh ahli fisioterapinya sepanjang perlawanan itu, akan bertemu Nick Kyrgios bagi penentuan ke final dalam usahanya menambah gelaran selepas menjuarai Terbuka Australia dan Terbuka Perancis tahun ini.
Fritz tidak melepaskan sebarang set dalam laluannya ke suku akhir tetapi bertemui Nadal jelas memberikan cabaran yang jauh lebih besar di mana servisnya dipatahkan dalam game pembukaan.
Bagaimanapun, pemain pilihan ke-11 itu memberikan respons terbaiknya dengan memenangi lima game berturut-turut, termasuk dua kali mematahkan servis Nadal, untuk memenangi set pertama.
Momentum itu tidak dapat diteruskannya dalam set kedua, di mana Nadal mendahului 3-0, namun juara grand slam 22 kali itu kemudian mengalami kecederaan abdomen tetapi masih mampu untuk menyamakan kedudukan dengan memenangi set berkenaan.
Fritz, yang menamatkan rekod 2-0 Nadal dalam pertemuan terakhir mereka di Indian Wells, kemudian mendominasi set ketiga untuk kembali berada di depan.
Kedua-dua pemain gagal melebarkan jurang dalam set keempat sehingga kedudukan terikat 5-5 ketika Fritz memegang servis tetapi Nadal mempamerkan kemahirannya untuk mematahkan servis berkenaan untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Aksi kekal sengit dalam set terakhir sehingga perlawanan terpaksa dibawa ke penentuan 'tie-break' tetapi Nadal ternyata lebih unggul untuk memenangi pertarungan selama empat jam 20 minit itu.