Kejohanan Wimbledon: Djokovic lepasi ujian getir Van Ritjhoven untuk ke suku akhir

Astro Arena
Julai 4, 2022 11:00 MYT
Novak Djokovic meraikan kemenangan ke atas Tim van Rijthoven pada perlawanan hari ketujuh Kejohanan Tenis Wimbledon. - Foto AP
NOVAK Djokovic berdepan cabaran getir untuk mara ke suku akhir Kejohanan Tenis Wimbledon dengan menewaskan Tim van Rijthoven awal pagi tadi.
Juara bertahan itu, yang sedang memburu gelaran keempat berturut-turut di All England Club, tewas dalam set kedua sebelum menang 6-2, 4-6, 6-1, 6-2 dalam perlawanan pusingan keempat berkenaan.
Selepas terlibat dengan perarakan juara-juara di Centre Court, juara enam kali, Djokovic, membuktikan betapa dia sukar untuk ditewaskan dalam kejohanan berkenaan.
Ia merupakan kemenangannnya yang ke-25 berturut-turut dalam acara perseorangan lelaki di Wimbledon dan hanya Bjorn Borg (41), Roger Federer (40) dan Pete Sampras (31) mempunyai rekod lebih baik berbandingnya.
Van Rijthoven juga mempunyai rekod baik di atas gelangang rumput musim ini, termasuk menewaskan pemain nombor satu dunia, Daniil Medvedev, dan Felix Auger-Aliassime dalam Kejohanan Gelanggang Rumput Rosmalen, di mana rankingnya melonjak dari 205 ke 106 dalam senarai pemain ATP sebelum ditawarkan tiket peluang khas di Wimledon.
pemain pilihan, Reilly Opelka dan Nikoloz Basilashvili, kedua-duanya tewas kepada Van Rijthoven dalam pusingan awal dan selepas dia menewaskan Djokovic dalam set kedua, pemain Belanda itu kelihatan akan sekali lagi mencipta kejutan terbesar dalam kejohanan berkenaan.
Tetapi lawannya kali ini bukan calang-calang pemain, di mana Djokovic bangkit memenangi dua set terakhir selepas bertarung selama dua jam dan 39 minit.
Menanti pemain pilihan utama itu dalam pusingan berikutnya adalah Jannik Sinner bagi penentuan ke separuh akhir.
#Novak Djokovic #Tim van Rijthoven #Wimbledon #tenis
;