Kejohanan Wimbledon: Barty tidak sabar jumpa Kerber dalam separuh akhir

Astro Arena
Julai 7, 2021 09:44 MYT
Ashleigh Barty meraikan kejayaan menewaskan Ajla Tomljanovic ketika suku akhir wanita Kejohanan Tenis Wimbledon di London, 6 Julai, 2021. (Foto AP)
ASH Barty mengesahkan pertemuan dengan Angelique Kerber dalam separuh akhir Kejohanan Tenis Wimbledon selepas menewaskan Ajla Tomljanovic di Centre Court awal pagi tadi.
Dalam perlawanan suku akhir grand slam itu -- kali pertama melibatkan dua pemain Austalia sejak Evonne Goolagong menewaskan Wendy Turnbull di Wimbledon pada 1980 -- Barty mudah memastikan kemenangan 6-1, 6-3 dalam tempoh sejam dan enam minit.
Ia sudah 10 tahun sejak Barty memenangi kejohanan remaja wanita di Wimbledon dan di peringkat senior pula, pencapaian terbaiknya sebelum ini adalah mara ke pusingan keempat dua tahun lalu.
Kini, pemain nombor satu dunia itu kelihatan sedang berada dalam keadaan terbaik untuk memburu kerjuaraan itu di atas gelanggang rumput kegemarannya bagi menambah koleksi gelaran tahun ini selepas bergelar juara Yarra Valley Classic,Terbuka Miami dan Terbuka Stuttgart.
"Ia amat mengujakan. Dia (Tomljanovic) sentiasa membuatkan saya perlu memberikan yang terbaik," kata Barty.
"Ini merupakan impian menjadi kenyataan, benar-benar seperti itu. Inilah impian saya dan saya amat-amat bersyukur mendapat peluang untuk turun beraksi di sini dan berseronok dan melakukan apa yang telah saya usahakan dengan gigih selama ini. Saya menikmati setiap minit."
Menjelang pertemuan dengan Kerber, Barty menambah: "Ini sememangnya ujian paling berat. Angie jelas pernah memperoleh kejayaan di sini sebelum ini dan mahu memperoleh dua minggu terbaiknya di sini.
"Saya sukakan perlawanan ini, Saya gemar berlawan dengan Angie. Dia lawan yang luar biasa dan tahu apa yang mahu dilakukannya di atas gelanggang.
"Saya harap dapat bermain baik dan memberikan diri saya peluang untuk mendapatkan perlawanan yang baik," katanya lagi.
#Ash Barty #tenis #Ashleigh Barty #Angelique Kerber #Wimbledon #Ajla Tomljanovic #Grand Slam
;