Kejohanan Terjun Kebangsaan: Hanis gembira berjaya pastikan aksi terbaik
Astro Arena
November 6, 2023 07:15 MYT
November 6, 2023 07:15 MYT
SAINGAN hari terakhir Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia 2023 semalam menyaksikan acara 3 meter papan anjal seirama dimenangi gandingan senior dan pelapis, Hanis Nazirul Jayasurya dan Wendy Ng Yan Yee.
Walaupun kali pertama bergandingan, Hanis sempat meluahkan perasaan syukur kerana dapat mengatasi segala perbezaan antara mereka sekaligus menunjukkan aksi terbaik.
Wendy pula tidak menyangkakan kejayaan kerana hanya membuat persiapan selama dua hari untuk kejohanan itu.
Dia juga kini meletakkan fokus sepenuh dalam Kejohanan Kelayakan Olimpik bermula tahun depan.
Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou, Bertrand Rhodict Lises pula terpaksa puas hati dengan gangsa dalam acara 10m platform individu, selepas tewas kepada Igor Myalin dari Uzbekistan.
Pingat perak pula dimenangi penerjun negara, Jellson Jabillin.
Rhodict bagaimanapun mengakui dengan kesilapan yang dilakukan pada terjunan kedua dan kelima, yang mengekang usahanya untuk mengejar mata, sekali gus memalapkan peluang menjuarai acara tersebut.
Bagi Jabillin pula, dia tetap berbangga dengan aksi yang dipamerkan walaupun sedang mengalami masalah kesihatan sejak hari pertama kejohanan.