Kejohanan Skuasy Individu Wanita Dunia berdepan pembatalan

Astro Awani
Disember 6, 2015 03:19 MYT
KJ: "Saya tidak mahu ditipu oleh pihak penganjur antarabangsa." - Gambar fail
Kejohanan Skuasy Individu Wanita Dunia yang sepatutnya berlangsung di Kuala Lumpur, berdepan pembatalan apabila penganjur mengugut Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menuntut 3.5 juta ringgit hanya untuk kos keselamatan.
Teka-teki mengenai status kejohanan yang sepatutnya bermula 12 Disember depan mula jadi tanda tanya.
Penganjur, kumpulan Hallmark Events mendakwa Malaysia tidak selamat menganjurkan kejohanan besar ternyata alasan semata-mata.
Mereka menghantar emel kepada Khairy menuntut 3.5 juta ringgit untuk kos keselamatan dan ia sesuatu yang tidak masuk akal.
Ia seolah-olah ugutan dan Khairy nyata tidak gembira.
“Apabila saya diberitahu bahawa kita masih boleh menganjurkan Kejohanan Skuasy Individu Wanita Dunia minggu depan dengan syarat membayar 3.5 Juta Ringgit untuk kos keselamatan peribadi, ianya satu ugutan. Saya tidak mahu ditipu oleh pihak penganjur antarabangsa,” kata Khairy
Kumpulan Hallmark Events ialah syarikat pengurusan yang dilantik Persatuan Skuasy Profesional (PSA) untuk menganjurkan kejohanan itu bermula 2014 hingga 2016.
Sebelum ini Khairy turut menyanggah kenyataan masalah keselamatan yang dikeluarkan oleh penganjur itu, memandangkan Malaysia telah menganjurkan pelbagai persidangan antarabangsa tanpa sebarang masalah.
Misalnya, beliau berkata Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di ibu negara baru-baru ini, yang menyaksikan kehadiran beberapa pemimpin terkemuka dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, dan ia berjalan dengan lancar.
#Hallmark Events #individu #kejohanan #keselamatan #Khairy Jamaluddin #kos #PSA #Skuasy #wanita