Kejohanan Skuasy Asia: Ng Eain Yow muncul juara
Astro Arena
Jun 10, 2023 21:48 MYT
Jun 10, 2023 21:48 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow, muncul juara Kejohanan Skuasy Individu Asia (AIC) 2023 selepas menewaskan wakil India, Velavan Senthilkumar, hari ini.
Dalam saingan yang berlangsung di Pusat Skuasy Hong Kong, Eain Yow hanya memerlukan masa 31 minit untuk mencatat kemenangan 11-4, 11-5, 11-6 ke atas lawan dari India itu sekali gus mempertahankan kejuaraan dimenanginya di Islamabad, Pakistan pada 2021.
Hasrat kem skuasy negara untuk pulang dengan dua gelaran itu tidak kesampaian apabila pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari, tewas kepada pemain Hong Kong, Chan Sin Yuk.
Sivasangari terpaksa akur dengan kualiti dipamerkan wakil tuan rumah itu selepas bersaing selama 40 minit sebelum tewas 6-11, 11-9, 12-14, 1-11.
Kekalahan Sivasangari menyaksikan Malaysia terus gagal menamatkan penantian lapan tahun sejak kali terakhir legenda negara, Datuk Nicol Ann David, yang menjuarai edisi 2015 yang berlangsung di Kuwait.