Kejohanan Jemputan BAM: Zii Jia, Joo Ven senasib dilanda kecederaan

Astro Arena
Ogos 13, 2020 06:15 MYT
Joo Ven terpaksa akur dihimpit kecederaan hamstring yang mungkin memerlukannya berehat yang panjang. - Foto Astro ARENA
SOONG Joo Ven mengikuti jejak perseorangan utama lelaki negara, Lee Zii Jia, apabila tidak dapat meneruskan saingan Kejohanan Jemputan BAM akibat kecederaan.
Zii Jia difahamkan mula mengalami kecederaan belakang ketika menerima tentangan sengit daripada Joo Ven dalam aksi pertamanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, pada Khamis.
Ketika ketinggalan 10-11 dalam set ketiga, dia bergelut untuk membalas pukulan lawannya dan situasi itu berterusan apabila terus tercicir 16-18.
Namun, mereka mempamerkan aksi mendebarkan sebelum Joo Ven mengesahkan kemenangan 21-19, 11-21-11, 29-27.
Keadaan itu memaksa pemain ke-10 dunia itu terpaksa menarik diri sebelum turun berdepan Ng Tze Yong, malam tadi.
Joo Ven yang memberikan aksi lebih 100 peratus juga terpaksa akur dihimpit kecederaan hamstring yang mungkin memerlukannya berehat yang panjang.
Selepas mencipta kejayaan pertama hari ini, dia terpaksa menarik diri pada awal set ketiga bertemu Lim Chong King biarpun menguasai set pertama.
Senario itu mungkin boleh dianggap kesan selepas mereka berehat panjang ketika pandemik COVID-19.
"Atas nasihat pakar fisioterapi, kami putuskan Zii Jia agar tidak teruskan baki permainan.
"Saya sudah arahkan dia supaya panaskan badan tetapi dia beritahu tidak dapat membongkokkan badannya dengan baik, jadi dia tidak akan beraksi lagi buat masa ini," kata Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.
#badminton #berehat panjang #cedera #COVID-19 #hamstring #kecederaan belakang #Kejohanan Jemputan BAM #Lee Zii Jia #Lim Chong King #Ng Tze Yong #Soong Joo Ven #tarik diri #Wong Choong Hann
;