Kejohanan Grand Prix Terjun FINA: Ng Yan Yee sumbang pingat emas pertama
Bernama
Oktober 22, 2016 22:17 MYT
Oktober 22, 2016 22:17 MYT
Penerjun Olimpik Malaysia, Ng Yan Yee menyumbangkan pingat emas pertama buat negara pada hari kedua Kejohanan Grand Prix Terjun FINA di Pusat Akuatik Sarawak, di sini hari ini
Beliau mengumpul 338.25 mata daripada lima terjunan untuk memenangi pingat emas acara 3m papan anjal wanita.
Wang Han dari China yang mengutip 333.60 mata meraih pingat perak manakala rakan sepasukannya Huang Xiaohui dengan 322.30 mata memenangi gangsa.
Sementara itu, gandingan penerjun Malaysia, Ooi Tze Liang dan Chew Yi Wei memenangi pingat perak acara 3m papan anjal seirama lelaki setelah mengumpul 394.71 mata.
Pingat emas menjadi milik pasangan China, Huang Bowen dan Xie Siyi yang mengumpul 415.20 mata. Hanya dua pasukan mengambil bahagian dalam acara berkenaan.
Pasangan China, Xia Yujie dan Xia BingQing pula memenangi pingat emas acara 10m platform seirama wanita dengan jumlah keseluruhan 332.34 mata, mengatasi gandingan Amerika Syarikat, Tarrin Gilliland dan Delaney Schnell yang memperoleh pingat perak dengan 288.48 mata.
Sementara itu, hanya dua pasukan mengambil bahagian dalam acara 10m platform seirama lelaki pagi ini, yang menyaksikan pasangan China, Xu Zi Wei dan Yang Hao meraih emas selepas mengumpul 426.54 mata.
Pingat perak dimenangi gandingan Belevtsev Aleksandr dan Bondar Aleksandr dari Rusia, yang mengutip 381.18 mata.
Esok adalah hari terakhir kejohanan tersebut dengan dua acara akhir, 3m papan anjal seirama wanita dan 10m platform lelaki. -- BERNAMA