Kejohanan e-sukan tawar hadiah sehingga RM70,000 sempena HSN 2024

Bernama
Oktober 4, 2024 20:32 MYT
Selain menyertai pertandingan yang dianjurkan, peminat-peminat e-sukan yang hadir ke kejohanan itu berpeluang bertemu barisan pemain profesional tempatan. - Facebook - Malaysia Esports Federation
KUALA LUMPUR: Hadiah keseluruhan berjumlah RM70,000 menanti peserta Kejohanan Esports Hari Sukan Negara (HSN) yang akan berlangsung di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Presint 3, Putrajaya pada 11 hingga 13 Okt ini.
Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) Muhammad Naim Al Amin Saharudin berkata kejohanan itu akan menampilkan permainan Konami eFootball 2025 sebagai pertandingan utama yang melibatkan penyertaan 15 negeri dan Wilayah Persekutuan serta perlawanan futsal 5 sebelah berkonsepkan permainan sihat dalam acara e-sukan.
"MESF juga akan menampilkan pelbagai pertandingan permainan popular pada kejohanan kali ini seperti PUBG Mobile, Mobile Legends Bang Bang, Free Fire dan Tekken 8 bagi menarik lebih ramai golongan belia yang berminat dalam e-sukan untuk beramai-ramai menghadirkan diri ke Putrajaya bagi memeriahkan lagi kejohanan e-sukan dan juga HSN 2024 pada tahun ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain menyertai pertandingan yang dianjurkan, peminat-peminat e-sukan yang hadir ke kejohanan itu berpeluang bertemu barisan pemain profesional tempatan.
Selain itu, pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung antaranya pertandingan cosplay, permainan VR serta reruai jualan.
-- BERNAMA
#kejohanan e-sukan #e-sports #Hari Sukan Negara #hsn 2024 #Konami eFootball 2025
;