Kejohanan Dunia: Lagi kejutan daripada Aaron-Wooi Yik
Astro Arena
Ogos 2, 2018 18:39 MYT
Ogos 2, 2018 18:39 MYT
PASANGAN beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, mencipta kejutan terbesar dalam pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2018 mengetepikan pilihan kelapan dari Denmark, Kim Astrup dan Anders Skarup Rasmusssen.
Selepas hanya satu sahaja wakil negara layak ke pusingan suku akhir pada sebelah pagi, menerusi pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, Malaysia terpaksa menanti sehingga pasangan muda ini beraksi untuk melihat satu lagi wakil negara untuk turut melangkah ke pusingan seterusnya.
Tidak banyak harapan diberikan, namun Aaron dan Wooi Yik membuktikan mereka memiliki kualiti tersendiri untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan Dunia buat kali pertama dalam karier mereka apabila meraih kemenenangan 21-18, 21-16 ke atas Astrup-Rasmusssen.
"Kami tidak menyangka dapat mengatasi lawan yang merupakan pilihan kelapan kejohanan. Kami cuba menampilkan persembahan yang sama seperti sebelum ini dan berjaya meraih kemenangan," kata Aaron.
Bagaimanapun, impian satu lagi pasangan untuk mara ke suku akhir dalam penampilan pertama mereka di saingan ini, Goh Soon Huat dan Shevon Lai Jemie dalam acara beregu campuran tidak kesampaian.
Mereka tewas kepada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa dalam aksi tiga set, 22-20, 14-21, 6-21.
"Set kedua kami memiliki masalah dan gagal menemui rentak hingga kehilangan keyakinan dan set ketiga," kata Soon Huat.
Tag