Kejohanan Dunia IESF: Zarif mampu jadi juara dunia
Astro Arena
November 6, 2018 13:48 MYT
November 6, 2018 13:48 MYT
PEMAIN e-sukan negara, Muhammad Zarif Aiman Aris, mahu menjadikan penampilan keduanya dalam Kejohanan Dunia Persatuan E-sukan Antarabangsa (IESF) di Taiwan sebagai sejarah manis untuk bergelar juara.
Zarif yang beraksi bagi kategori Tekken7 mahu menebus kesilapan pada penampilan sulungnya di Busan, Korea Selatan, tahun lalu untuk memperbaiki kedudukan kelapan dunia seperti yang diraihnya sebelum ini.
Berbekalkan latihan selama 10 jam sehari, pemain berusia 19 tahun itu tidak menolak mampu bergelar juara dunia pertama dari Malaysia selepas pencapaian terbaiknya dalam kategori itu adalah menduduki tempat kedua pada 2012.
"Apa yang penting adalah kekuatan mental.
"Walaupun keadaan agak menyukarkan nanti, saya akan terus fokus memburu kemenangan," kata Zarif.
Majlis penyerahan bendera kepada 10 pemain E-sukan yang bakal beraksi dalam Kejohanan Dunia itu telah diadakan semalam.
Majlis tersebut turut melibatkan pasukan bagi kategori League of Legends (LOL ) dan Counter Strike: Global Offensive.
Kapten pasukan Frosfire bagi kategori Counter Strike: Global Offensive, Aiman Azham, menganggap sasaran kedudukan lapan terbaik dunia lebih realisitik selepas hanya enam bulan membentuk pasukan bersama empat rakan-rakan yang lain.
"Saya tidak mahu meletakkan tekanan dalam pasukan memandangkan kami hanya bersama sejak enam bulan lalu.
Kami hanya mensasarkan untuk menduduki kelompok lapan pasukan terbaik," kata Aiman.