Kejohanan Dunia Glasgow mungkin penentu karier Chong Wei

Bernama
Januari 11, 2017 19:01 MYT
Hendrawan bagaimanapun berkata keputusan untuk bersara atau tidak ia bergantung kepada keinginan Chong Wei sendiri. - Gambar fail
Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland pada 21 hingga 27 Ogos ini, mungkin menjadi penentu karier jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dalam arena badminton.
Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan berpendapat berdasarkan perbincangan antara beliau dan Chong Wei, keputusan di kejohanan dunia itu nanti akan menentukan masa depan dan arah tuju anak buahnya itu.
Hendrawan bagaimanapun berkata keputusan untuk bersara atau tidak ia bergantung kepada keinginan Chong Wei sendiri.
"Ya, beliau pernah menyatakan hasratnya untuk bersara tetapi perbincangan itu selepas Sukan Olimpik, selepas beliau 'berhabis-habisan' di Brazil. Saya bertanyakan kepadanya sama ada masih ada kemahuan lagi atau tidak, jika tidak ia sukar.
Jika masih ada sasaran dan kemahuan, masih boleh. Saya ingat lagi Chong Wei pernah berkata sasarannya adalah Kejohanan Dunia iaitu pada tahun ini.
Waktu itu saya kata ia tidak mustahil kerana masih ada satu tahun persediaan. Tidak perlu fikir sampai Sukan Olimpik Tokyo 2020. Jika berjaya di Scotland, saya rasa orang ramai tidak perlu tanya lagi dan dia juga tidak akan ragu-ragu lagi," katanya di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara di sini.
Hendrawan berpendapat sekiranya Chong Wei masih mempunyai keinginan tinggi dan sasaran ia membuktikan pemain itu masih mempunyai impian untuk meneruskan kariernya dalam badminton.
Seperti Sukan Olimpik, Chong Wei juga masih memburu gelaran juara dunia setelah tiga kali meraih pingat perak di London (2011), Guangzhou (2013) dan Jakarta (2015) serta pingat gangsa di Anaheim, Amerika Syarikat (2005).
Katanya ketika Chong Wei menyatakan hasratnya untuk bersara itu adalah kerana beliau terlalu penat dan keadaan kini berbeza kerana Chong Wei semakin segar dan tidak tertekan.
"Jujur, dia pernah tanya kepada saya kenapa saya berhenti dalam badminton, saya jawab kerana kecederaan, kedua saya berhenti kerana saya tidak ada kemahuan lagi untuk beraksi lagi dalam Piala Thomas dan Kejohanan Dunia.
Kita bincang soal ini (bersara), selagi kamu ada kesungguhan, mempunyai impian, kita teruskan, kecuali kamu tidak ada kemahuan dan tiada sasaran, itu suatu yang sukar," kata bekas pemain Indonesia yang pernah meraih pingat emas di Kejohanan Dunia Seville, Sepanyol pada 2001.
Hendrawan berkata selain Kejohanan Dunia, sasaran Chong Wei adalah Kejohanan Badminton Seluruh England pada 7 hingga 12 Mac, Terbuka India (28 Mac-2 April) Terbuka Malaysia (4-9 April) dan Terbuka Indonesia (13-18 Jun). -- Bernama
#Badminton Dunia #Glasgow #hendrawan #Scotland
;