Kejohanan Dunia: Aaron-Wooi Yik, Soon Huat-Shevon mara ke pusingan ketiga
Bernama
Disember 16, 2021 15:36 MYT
Disember 16, 2021 15:36 MYT
KUALA LUMPUR: Dua beregu Malaysia - Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (beregu campuran) - melepasi halangan pusingan kedua pada Kejohanan Dunia BWF 2021 di Huelva, Sepanyol semalam.
Pemenang gangsa Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang juga pilihan keempat kejohanan, memerlukan 56 minit untuk menundukkan beregu dari China Ou Xuan Yi-Zhang Nan 21-18, 20-22, 21-16 di Palacio de los Deportes Carolina Marin.
Pasangan nombor tujuh dunia itu, yang menerima 'bye' pada pusingan pertama, akan bertemu satu lagi gandingan dari China He Ji Ting-Tan Qiang untuk perebutan slot ke suku akhir, hari ini.
Terdahulu, pilihan ke-16 kejohanan Ji Ting-Tan Qiang, bangkit daripada ketinggalan pada set pertama untuk menewaskan Callum Hemming-Steven Stallwood dari England, 16-21, 21-12, 21-12.
Sementara itu, beregu campuran profesional Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, yang turut menerima 'bye' pada pusingan pertama, mudah mengenepikan Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran dari Thailand 21-8, 21-13.
Soon Huat-Shevon akan menentang beregu Hong Kong, Yeung Ming Nok-Ng Tsz Yau, selepas pasangan itu diberi kemenangan percuma susulan penarikan diri bekas beregu Malaysia Chan Peng Soon-Goh Liu Ying daripada kejohanan.
Baru-baru ini, Peng Soon-Liu Ying mengumumkan perpisahan mereka selepas 13 tahun bergandingan di gelanggang.
-- BERNAMA