Kejohanan Badmiton Asia: Aaron-Wooi Yik sedia pamer kebangkitan
Astro Arena
April 5, 2023 00:25 MYT
April 5, 2023 00:25 MYT
Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chi-Soh Wooi Yik, sedia mempamerkan kebangkitan dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) hujung bulan ini.
Ini selepas beregu nombor dua dunia itu gagal layak ke suku akhir bagi tiga kejohanan di Eropah sepanjang bulan lalu.
Kegagalan itu, bagaimanapun, mahu digunakan mereka sebagai motivasi menjelang tempoh kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 bermula bulan depan.
Bagi Aaron, keputusan yang baik dalam BAC merupakan satu keperluan buat mereka seandainya mahu kekal dalam kelompok lapan beregu terbaik dunia.
"Saya rasa kami perlu fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan," katanya kepada Astro Arena.
"Yang terdekat adalah BAC, kemudian Piala Sudirman dan seterusnya ada Masters Malaysia, jadi kami ketika ini mahu fokus kepada BAC kerana ia kejohanan bertaraf Super 1000.
"Ia penting buat kami untuk kekal sebagai beregu kedua terbaik dunia.
"Prestasi kami di Eropah mungkin tidak berapa baik tetapi bagi saya, ia bukan satu alasan.
"Kalah ketika ini lebih baik daripada kalah sewaktu tempoh kelayakan nanti.
"Kami berharap kekalahan itu dapat membantu kami untuk bangkit dan lebih berusaha keras secara keseluruhan.
"Ia sebagai satu persediaan yang baik sebelum kelayakan ke Sukan Olimpik bermula," katanya.