Kejohanan Badminton Dunia: Yew Sin-Ee Yi lepasi cabaran pusingan kedua

Bernama
Disember 14, 2021 00:33 MYT
Gandingan profesional negara Ong Yew Sin-Teoh Ee Yi yang mempamerkan aksi meyakinkan berjaya menempah slot ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol hari ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Gandingan profesional negara Ong Yew Sin-Teoh Ee Yi yang mempamerkan aksi meyakinkan berjaya menempah slot ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol hari ini.
Pasangan negara yang mudah menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-12, bagaimanapun hampir diheret ke set penentuan apabila ketinggalan di belakang lawan mereka dari Denmark Joel Eipe-Rasmus Kjaer 10-18 pada set kedua.
Pilihan kesembilan kejohanan itu bagaimanapun berjaya mengejar mata demi mata hingga menyamakan kedudukan pada 19-19 sebelum menokhtahkan kemenangan 21-19 dalam tempoh 39 minit perlawanan.
Yew Sin-Ee Yi yang kini menghuni ranking ke-12 dunia bakal berdepan pasangan kesembilan dunia dari India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang mara selepas menewaskan wakil Taiwan Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan 21-4, 21-12.
Turut melangkah ke pusingan ketiga adalah beregu campuran profesional negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang diletakkan sebagai pilihan kesembilan selepas tidak berdepan masalah mengenepikan cabaran India Saurabh Sharma-Anoushka Parikh 21-8, 21-18.
Namun, pasangan negara yang kini berada di ranking ke-11 itu mempunyai misi berat apabila dijadual bertemu pilihan ketiga dan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun.
#Ong Yew Sin #Teoh Ee Yi #badminton #beregu #Kejohanan Badminton Dunia #Huelva #sepanyol
;