Kejohanan Badminton Dunia: Tiga pasangan negara mara ke pusingan ketiga
Bernama
Ogos 23, 2023 00:42 MYT
Ogos 23, 2023 00:42 MYT
KUALA LUMPUR: Tiga pasangan Malaysia termasuk beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah, mara ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark, hari ini.
Pearly-Thinaah, yang menerima bye pada pusingan pembukaan, mengatasi gandingan Scotland, Julie Macpherson-Ciara Torrance 21-15, 21-10 pada pusingan kedua kejohanan yang berlangsung di Royal Arena.
Beregu pilihan ke-10 itu akan menentang beregu Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara selepas pilihan keempat itu mengatasi wakil Austria, Serena Au Yeong-Katharina Hochmeir 21-11, 21-5.
Sementara itu, hasrat satu lagi pasangan negara, Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing untuk layak ke pusingan seterusnya disekat oleh pilihan kelapan dari Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai selepas tewas 13-21, 11-21.
Dalam pada itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya apabila mengambil masa 36 minit untuk menumpaskan Lee Chun Hei-Ng Tsz Yau dari Hong Kong 21-19, 21-9.
Beregu pilihan ke-14 itu bakal berdepan pilihan ketujuh, Thom Gicquel-Delphine Delrue seterusnya selepas pasangan Perancis itu menumpaskan Marcus Ellis-Lauren Smith dari England, 21-18, 21-13.
Bagaimanapun, kempen beregu profesional negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berakhir apabila mereka dihantar pulang ke tanah air oleh Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran dari Thailand dengan keputusan 15-21, 18-21.
Beregu profesional lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi berhempas pulas sebelum menang dalam set penentuan menentang pasangan bukan pilihan Thailand, Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa-Nga 21-16, 18-21, 21-12 .
Yew Sin-Ee Yi, pilihan ketujuh, akan akan membuat perhitungan slot suku akhir menentang pemenang perlawanan pusingan kedua antara wakil tuan rumah, Kim Astrup-Anders Rasmussen atau Alexander Dunn-Adam Hall dari Scotland.
-- BERNAMA