Kejohanan B-23 AFF: Juara Sukan SEA halangan awal Harimau Muda

Bernama
Mei 29, 2023 13:48 MYT
Pada Sukan SEA 2023, skuad B-23 kebangsaan tampil dengan prestasi hambar di Kemboja selepas tersingkir seawal peringkat kumpulan. - Fail/FAM
KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan diundi bersama pemenang pingat emas Sukan SEA 2023, Indonesia dalam misi memburu kejuaraan sulung Kejohanan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) yang akan berlangsung di Chonburi, Thailand Ogos ini.
Pada majlis undian hari ini, skuad Harimau Muda bimbingan E. Elavarasan, Indonesia yang juga juara edisi 2019 dan Timor-Leste diundi dalam Kumpulan B.
Kumpulan A menghimpunkan pasukan tuan rumah Thailand, Kemboja, Brunei dan Myanmar sementara Kumpulan C dibarisi juara bertahan Vietnam, Filipina dan Laos.
Juara setiap kumpulan bersama naib juara terbaik akan layak ke peringkat separuh akhir.
Pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah kejohanan adalah tempat keempat pada edisi sulung 2005.
Kejohanan B-23 AFF kali ini merupakan medan persediaan buat anak buah Elavarasan selepas Sukan SEA 2023 di Kemboja baru-baru ini, menjelang pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 yang turut akan diadakan di Thailand, pada September depan dalam misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Pada Sukan SEA 2023, skuad B-23 kebangsaan yang muncul juara Piala Merlion, Mac lepas, tampil dengan prestasi hambar di Kemboja selepas tersingkir seawal peringkat kumpulan sekali gus gagal mencapai sasaran layak ke final.
-- BERNAMA
#Kejohanan B-23 AFF #harimau muda #Pingat emas Sukan SEA #Indonesia
;