Kejohanan Asia: Eain Yow, Rachel mara ke separuh akhir
Bernama
Disember 17, 2021 04:48 MYT
Disember 17, 2021 04:48 MYT
KUALA LUMPUR: Dua pemain skuasy negara Ng Eain Yow dan Rachel Arnold menghidupkan impian untuk mara ke final selepas berjaya ke separuh akhir Kejohanan Individu Asia 2021 di Islamabad, Pakistan, pada Jumaat.
Ng Eain Yow membuktikan sebagai pemain skuasy lelaki utama negara apabila menewaskan rakan senegara, Mohammad Syafiq Mohd Kamal, 11-6, 11-3, 11-5.
Pilihan utama Eain Yow akan bertemu Lau Tsz Kwan dari Hong Kong setelah mengalahkan pemain Pakistan, Tayyab Aslam 5-11, 9-11, 11-5, 11-3, 13-11.
Seorang lagi pemain Malaysia, Ivan Yuen gagal untuk mara ke separuh akhir selepas tewas kepada Yip Tsz Fung dari Hong Kong, 11-7, 11-4, 11-5.
Sementara itu, Rachel adalah satu-satunya wakil pemain wanita Malaysia yang terselamat ketika berhadapan pemain Hong Kong setelah juara Terbuka Malaysia 2021, Aifa Azman, Noor Ainaa Amani Ampandi dan Chan Yiwei tewas kepada lawan mereka.
Pemain nombor 39 dunia, Rachel mengalahkan Chan Sin Yuk, 11-7,11-9, 11-7 untuk bertemu Ho Tze Lok yang mengalahkan Yiwei, 11-5,14-12, 11-9.
Tong Tsz Wing, yang memenangi dua set pertama, berjaya menangani kebangkitan Aifa pada set ketiga dan keempat sebelum mengesahkan tempat ke separuh akhir menerusi kemenangan mendebarkan 11-5, 11-9, 8-11, 3-11, 12-10 manakala pilhan utama Liu Tsz Ling menundukkan Noor Ainaa 11-9, 5-11,12-10, 11-6.
-- BERNAMA