Kejohanan AFF B23: Benam Timor Leste, Malaysia bertemu Vietnam di separuh akhir

Astro Arena
Ogos 22, 2023 04:15 MYT
Skuad B23 negara bakal berdepan tugasan mencabar dalam usaha memastikan kemaraan ke pentas final apabila bakal membuat penghitungan dengan juara Kumpulan C yang juga juara bertahan, Vietnam. - Astro ARENA
BANGKOK: Skuad B23 negara berjaya mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan AFF B23 selepas kejayaan mengatasi Timor Leste 3-1 di Stadium Rayong, Thailand, malam tadi.
Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut dilakar apabila mereka mengatasi Indonesia 2-1 dalam aksi pembukaan, Jumaat lalu, sekali gus menyaksikan skuad bimbingan E. Elavarasan mara selaku juara Kumpulan B dengan mengumpul enam mata.
Mereka bakal berdepan tugasan mencabar dalam usaha memastikan kemaraan ke pentas final apabila bakal membuat penghitungan dengan juara Kumpulan C yang juga juara bertahan, Vietnam.
Dalam aksi yang berlangsung malam tadi, skuad negara bermula garang apabila membuka jaringan menerusi Alif Ikmalrizal Anuar seawal minit kelima sebelum Aliff Izwan Yuslan meledak gol kedua, lapan minit kemudian.
Kegagalan benteng pertahanan Harimau Malaya B23 kekal fokus membolehkan Timor Leste merapatkan kedudukan pada minit ke-41 hasil jaringan Olagar Xavier.
Alif Ikmalrizal bagaimanapun mengesahkan kemenangan buat skuad negara apabila meledak gol ketiga Harimau Malaya B23 dan yang kedua peribadinya bagi perlawanan tersebut pada minit ke-64.
#Kejohanan AFF B23 #Vietnam #Timor Leste #skuad B23 negara
;