Kejohanan AFF B-22: Malaysia tewas aksi pembukaan
Astro Arena
Februari 18, 2019 05:39 MYT
Februari 18, 2019 05:39 MYT
SKUAD negara gagal membuka kempen Kejohanan AFF B-22 dengan nota kemenangan sebaik kecundang 0-1 di tangan pasukan tuan rumah, Kemboja, malam tadi.
Gol tunggal daripada Sath Rosib sudah cukup untuk menafikan peluang Malaysia yang tempang tanpa seorang pemain susulan layangan kad merah kepada Danial Haqim Draman.
Penonton di Stadium Olimpik Phnom Penh harus termenung sepanjang 15 minit pertama perlawanan apabila bola kerap berlegar-legar di kawasan tengah padang tanpa sebarang percubaan berbahaya daripada kedua-dua pasukan.
Kemboja kemudian memberikan amaran awal pada minit ke-16 menerusi percubaan jarak jauh Chheng Meng, namun sepakan kencangnya ditanduk keluar kapten negara, Dominic Tan.
Narong Kakada sepatutnya memberikan kelebihan awal buat tuan rumah, namun lambungan bola yang dilakukannya sedikit melepasi palang Haziq Nadzli.
Serangan bertali arus terus dilancarkan Kemboja menjelang waktu rehat separuh masa dengan Kakada sekali lagi menjadi ancaman menerusi tandukannya yang sedikit tersasar daripada penjuru kanan gawang Malaysia.
Keadaan kian getir buat Harimau Malaya pada minit ke-62 apabila Danial Haqim dilayangkan kad kuning kedua susulan terjahan berbahayanya ke arah kepala kapten Kemboja, Orn Champolin.
Kelebihan itu dimanfaatkan Rosib untuk menghasilkan sepakan percuma gemilang dari jarak 25 meter yang "melemaskan" Haziq untuk skuad kendalian Felix Dalmas itu memperoleh gol pembukaan.
Malaysia cuba bangkit menerusi gerakan daripada Jafri Firdaus Chew dan Hadi Fayyadh Abdul Radzak, namun kekurangan seorang pemain memaksa skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu menamatkan aksi pertama peringkat Kumpulan B tanpa sebarang mata.
"Saya tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan perasaan saya ketika ini.
"Saya amat berbangga dengan pemain saya.
"Bukan sahaja untuk pemain yang beraksi di atas padang tetapi juga kepada pemain yang di bangku simpanan dan pemain yang tidak dapat menyertai kejohanan ini.
"Kemenangan ini adalah untuk mereka semua," kata Dalmas.
"Kami mula bermain baik selepas Nik Akif Syahiran Nik Mat dibawa masuk.
"Kami menguasai bahagian tengah, namun kekurangan seorang pemain benar-benar menyukarkan," kata Kim Swee.
#bola sepak
#bolasepak
#Danial Haqim Draman
#harimau Malaya
#Harimau Malaysia
#Kejohanan AFF B-22 d
#Kemboja
#Malaysia
#Ong Kim Swee
#Phnom Penh
#Sath Rosib