Kejayaan B-22 julang Piala Merlion bukan kayu ukur di Kemboja - Safee
Bernama
April 3, 2023 04:45 MYT
April 3, 2023 04:45 MYT
KUALA LUMPUR: Kejayaan skuad bawah 22 (B-22) tahun negara yang merangkul Piala Merlion baru-baru ini tidak boleh dijadikan kayu pengukur dalam menentukan kemenangan mereka di temasya Sukan SEA di Phnom Penh, Kemboja pada Mei ini.
Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali berpandangan masih banyak yang perlu diperbaiki anak buah E.Elavarasan terutamanya dari segi keserasian pasukan untuk menampilkan corak permainan yang mampu dibanggakan pada temasya dwitahunan itu.
"Kita tidak boleh menaruh harapan yang terlalu tinggi kepada skuad muda negara di Sukan SEA walaupun mereka berjaya menjuarai Piala Merlion.
"Kita harus beri mereka ruang untuk mencipta kejayaan dan sekiranya menang emas di Kemboja ia bonus. Seharusnya jangan terlalu memuji mereka (pemain) supaya tidak terbuai dan andai kata mereka tidak berjaya ia akan musnahkan perkembangan pemain di masa depan," katanya.
Perjalanan skuad bola sepak pada temasya berprestij Asia Tenggara di Vietnam pada Mei lepas terhenti di peringkat separuh akhir selepas tewas 0-1 kepada juara bertahan Vietnam.
Pada 26 Mac lepas, B-22 melakar sejarah apabila menjulang Piala Merlion 2023 selepas menewaskan skuad B-22 Hong Kong, 2-1, sekali gus menamatkan penantian 41 tahun Malaysia untuk mengungguli piala berkenaan semenjak diperkenalkan pada 1982.
Dalam perkembangan lain, Safee berpandangan skuad bawah 17 (B-17) yang akan mengharungi kejohanan Piala Asia B-17 2023 di Thailand pada Jun ini mampu memberikan saingan sengit apabila mutu permainan yang diperagakan pemain di atas padang mempunyai kualiti yang cemerlang.
Beliau bagaimanapun berkata adalah tidak wajar untuk meletakkan sasaran kepada anak buah Osmera Omaro apabila mereka baharu sahaja mula bertapak dalam dunia bola sepak, sebaliknya pemain muda diberikan ruang secukupnya bagi menikmati setiap detik permainan.
Pada Khamis lepas, B-17 diundi bersama tuan rumah Thailand, Yaman dan Laos dalam Kumpulan A bagi saingan Piala Asia B-17 2023 dan sekiranya Harimau Muda mampu menjadi empat pasukan terbaik pada Piala Asia B-17, mereka akan menempah slot ke Piala Dunia B-17 2023 di Peru, hujung tahun ini, sebagai wakil Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Safee yakin beberapa siri kejayaan pasukan muda negara di pentas berprestij antarabangsa mampu dijadikan bukti bahawa Malaysia tidak ketandusan bakat pemain muda yang mampu menyarung jersi skuad kebangsaan.
"Saya bersetuju dengan perkembangan pemain muda yang meningkat naik, kita ada pelapis yang berjaya dan berkualiti dan mereka berada dalam landasan yang betul, namun, seharusnya fasiliti yang disediakan untuk mereka juga harus seiring," katanya.
-- BERNAMA