Kejayaan atlet Paralimpik julang nama Malaysia lahir atlet berprestasi tinggi

Bernama
September 12, 2016 00:05 MYT
Pencapaian atlet Paralimpik negara membuktikan cabaran fizikal dimiliki bukan halangan mempamer kebolehan diri dan mencatat kejayaan dalam bidang masing-masing. - Gambar fail
Kejayaan dua atlet paralimpik negara meraih pingat emas di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro berjaya menjulang nama Malaysia dalam melahirkan atlet Orang Kurang Upaya (OKU) yang berprestasi tinggi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata kejayaan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhamad Ziyad Zolkefli membuktikan cabaran fizikal dimiliki bukan halangan mempamer kebolehan diri dan mencatat kejayaan dalam bidang masing-masing.
Beliau berharap kejayaan atlet Paralimpik negara dapat menjadi pemangkin kepada atlet lain untuk mencipta kejayaan dalam sukan yang dipertandingkan.
"Saya amat bangga dan mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada atlet Malaysia yang memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik.
"Kejayaan dua atlet paralimpik ini bukan sahaja berjaya mengharumkan nama negara, tetapi juga menjulang martabat serta nama Malaysia dalam menonjolkan atlet golongan OKU yang berprestasi tinggi dan berwibawa," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Pingat emas pertama dimenangi Mohamad Ridzuan dalam acara 100m T36 (celebral palsy) dengan catatan 12.07 saat, sekali gus memadam rekod kejohanan milik Roman Pavlyk dari Ukraine iaitu 12.25s yang dilakukan di Beijing pada 2008.
Pingat emas kedua diraih Muhammad Ziyad dengan rekod baharu dunia acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran). Catatannya 16.84 meter itu mengatasi rekod lama 16.29m milik Todd Hodgetts dari Australia yang dilakukan pada Sukan Paralimpik London.
#atlet negara #OKU #Paralimpik Rio #Rohani Abdul Karim #Sukan Paralimpik