"Kejayaan anda cuma tertangguh" - Lee Chong Wei nasihat Lee Zii Jia jangan kecewa

Madiha Abdullah
Julai 30, 2021 14:45 MYT
Menurut Lee Chong Wei, penampilan pertamanya di temasya Sukan Olimpik juga tidak kemas. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menasihatkan pemain perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia agar tidak kecewa dengan kekalahan kepada Chen Long, semalam.
Dalam hantaran di media sosial, Chong Wei berkata, Chen Long bukan calang-calang lawan dan kekurangan Zii Jia hanyalah kesilapan di saat-saat penting akibat rasa gugup.
"Dari segi power, speed and teknik, ZiiJia memang mengatasi Chen Long. Mungkin yang kurang adalah cemas pada saat-saat penting. Olimpik pertama, siapalah tak cemas? Penampilan Olimpik pertama Chong Wei pun tak kemas.
"Chen Long bukan calang-calang defending champion. Muka innocent tapi mamat tu memang ligat otak dalam penafsiran taktik pihak lawan," tulis Chong Wei.
Pemenang pingat perak Olimpik Rio itu juga yakin pengalaman akan mematangkan Jii Zia sekali gus membolehkan dia menewaskan sesiapa sahaja, di masa depan.
"Yang penting, dongakkan dagu teruskan usaha. Olimpik seterusnya tiga tahun saja lagi. Kejayaan anda bukanlah hilang, tetapi hanya tertangguh," tambahnya.
Chong Wei juga sempat berseloroh, sebelum mengucapkan selamat berjaya untuk Chen Long, yang menjadi 'pemusnah' impian rakyat Malaysia melihat emas pertama negara dalam edisi empat tahun lalu.
"Kepada Chen Long, awak lagi! Lebih baik jangan bagi rakyat Malaysia nampak awak dalam tempoh sebulan ini. Haha. Gurau sahaja. Selamat berjaya, kawan!" kata Chong Wei bergurau.
Pada Khamis, Zii Jia memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana gagal menyumbangkan pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, setelah tersingkir dalam saingan pusingan 16 terbaik acara perseorangan lelaki.
Pemain berusia 23 tahun itu, tumpas kepada pemenang pingat emas edisi Rio 2016, Chen Long dari China, mengakui bahawa ramai peminat sukan tanah air mengharapkan beliau untuk menghadiahkan pingat pada Olimpik kali ini.
BACA: Olimpik Tokyo: Zii Jia mohon maaf kepada rakyat Malaysia
#Lee Chong Wei #Olimpik #Malaysia #badminton #Lee Zii Jia
;