Kehidupan sosial mampu gugat karier Hamilton
Astro Arena
Mac 9, 2016 20:00 MYT
Mac 9, 2016 20:00 MYT
BEKAS pemandu McLaren David Coulthard berpendapat Lewis Hamilton mampu berlumba untuk tempoh 10 tahun lagi sekiranya tidak terlalu mengutamakan kehidupan sosialnya.
Lewis dikenali sebagai selebriti yang gemar menghabiskan masanya dalam kalangan artis Hollywood dan pereka fesyen dunia dan keadaan itu merisaukan Coulthard kerana melihat pemandu Britain itu seorang yang cukup hebat di atas litar.
Hamilton yang pernah berpacaran dengan bekas penyanyi utama Pussycat Dolls, Nicole Scherzinger, mengakui berminat untuk melibatkan diri dengan dunia nyanyian.
"Tidak disangkal lagi dia sering fokus ketika berada di atas litar namun kehidupan sosialnya terlalu sibuk. Saya bimbang ia akan memberi kesan kepada karier perlumbaannya tahun ini.
"Dia membahagikan masa antara karier perlumbaan dan sebagai seorang selebriti antarabangsa. Gangguan itu mungkin akan memberi peluang kepada rakan sepasukan, Nico Rosberg, untuk menjadi tumpuan musim ini," tambah Coulthard lagi.
Rosberg mencatat tiga kemenangan berturut-turut dalam tiga perlumbaan akhir musim lepas dan dijangka akan meneruskan momentum itu tahun ini.
Coulthard melihat Hamilton kini umpama David Beckham dalam sukan F1.